SHAH ALAM – Program Baucar Kita Selangor menerima 16,069 permohonan, demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Walaubagaimanapun katanya, sehingga kini hanya 1,146 permohonan yang diluluskan susulan proses verifikasi dan pengesahan gaji yang dikenakan sebelum ini.
Justeru itu beliau berkata, kerajaan negeri sedang mempermudah proses kelulusan permohonan dengan mengurangkan syarat pengesahan pendapatan yang sebelum ini menjadi antara faktor utama kelewatan kelulusan.
“InsyaAllah mengikut arahan terbaharu kerajaan negeri menjelang Ogos ini kita menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 hingga 12,000 permohonan diluluskan bagi membolehkan pengagihan Baucar Kita Selangor dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron bertanya mengenai tahap pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, program berkenaan akan diurus tadbir oleh Selcare bagi memastikan proses kelulusan dan pengagihan baucar dilaksanakan dengan lebih cekap sekaligus memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat yang layak.
Sebagai rekod, Baucar Kita Selangor merupakan salah satu inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.-MalaysiaGazette
















