KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah selesai merakam percakapan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, hari ini adalah hari keempat dan terakhir SPRM merakam percakapan bekas pegawai kanan tersebut yang telah bermula Selasa lalu.
“Sesi rakaman percakapan beliau untuk hari keempat ini telah bermula jam 9 pagi tadi dan telah berakhir jam 6.30 petang.
“Hari ini adalah hari terakhir SPRM merakam percakapan bekas pegawai kanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan bekas CEO syarikat milik badan berkanun yang disyaki menyalah guna kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.
Menurut sumber SPRM, suspek berumur 68 tahun itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Bagaimanapun, individu itu dibebaskan hari sama atas faktor kesihatan dan diarahkan hadir semula semalam bagi menyambung rakaman percakapan.
Tangkapan itu susulan siasatan pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.
Sebelum ini media melaporkan penahanan seorang pengarah syarikat reka bentuk kerana disyaki memberi rasuah kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) badan berkanun bernilai kira-kira RM300,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek ubahsuai di badan berkanun berkenaan. – MalaysiaGazette
















