Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim.

SHAH ALAM – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 Pakej 1 dijangka bermula pada hujung tahun 2027 dan akan mengambil masa kira-kira 67 bulan untuk siap sepenuhnya.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, setakat ini pelaksanaan projek berada pada peringkat reka bentuk yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Menurut beliau, selepas proses reka bentuk selesai, pengambilan tanah akan dilaksanakan dan dijangka melibatkan kos sekitar RM166 juta.

“Selepas itu, proses pengambilan tanah dijangka mengambil masa selama setahun sehingga suku keempat tahun 2027,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM512 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi melaksanakan projek berkenaan.

Izham menjelaskan, projek itu dijangka memberi manfaat besar dari segi pengurangan risiko banjir, peningkatan kecekapan sistem saliran, perlindungan penduduk dan aset serta penambahbaikan infrastruktur di kawasan Kajang dan bahagian hilir Mukim Hulu Langat.

Bagaimanapun peruntukan RM512 juta itu tidak meliputi keseluruhan keperluan projek tebatan banjir bagi daerah Hulu Langat.

“Justeru, kerajaan negeri melihat terdapat keperluan untuk memohon dana tambahan bagi kawasan hiliran selepas pelaksanaan Pakej 1 ini bagi membolehkan projek disambungkan sehingga ke daerah Sepang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Selangor akan mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Pakej 2 di Sepang dan Pakej 3 di Kuala Langat.

Kata Izham, ia sebagai usaha melengkapkan keseluruhan projek tebatan banjir Sungai Langat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast