Beginilah keadaan ditingkat tiga rumah yang mesnah dalam kebakaran di Jalan 8/23E, Taman Danau Kota, Kuala Lumpur, di sini.

KUALA LUMPUR – Tingkat tiga sebuah rumah kedai empat tingkat di  Jalan 8/23E, Taman Danau Kota, Kuala Lumpur, di sini musnah 100 peratus dalam kebakaran tengah hari tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada pukul 11.29 pagi sebelum pasukan bomba digegaskan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju dengan bantuan BBP Sentul digerakkan bersama jentera FRT-2, EMRS-1 dan Hilux-1, membabitkan kekuatan 18 anggota.

Komander Operasi, PBK I Mohd Arif Nasarudin berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 11.35 pagi dan mendapati kebakaran berlaku di tingkat tiga bangunan rumah kedai berkenaan.

“Bahagian yang terbakar berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak pada jam 11.46 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.10 tengah hari.

Menurutnya, anggaran kemusnahan adalah 100 peratus di tingkat tiga sahaja, manakala tingkat lain tidak terjejas.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Operasi keseluruhan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1 petang. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast