Tangkap layar video tular memaparkan pergaduhan di sebuah hotel di Bandaraya Johor Bahru, Khamis lalu

JOHOR BAHRU – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah hotel di bandar raya ini Khamis lalu, yang video kejadian tersebut turut tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pergaduhan menggunakan tangan, kaki dan senjata itu pukul 12.55 tengah semalam.

“Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira pulkul 4 petang itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dan beberapa individu terbabit berada dalam keadaan mabuk.

“Susulan maklumat diterima, pihak polis telah menahan ketiga-tiga lelaki berusia antara 35 hingga 56 tahun di hadapan hotel berkenaan kira-kira pukul 3 petang semalam,” katanya dalam kenyataan.

Azrul Hisham berkata, semakan rekod jenayah lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai 25 rekod berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek bagaimanapun negatif dadah.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh bersenjata dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan.

Proses permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek ujarnya, akan dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Polis juga masih giat mengesan suspek lain yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatani 07-2182323. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast