Dua kanak-kanak ditemui lemas dalam kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex, Pasir Gudang hari ini.

PASIR GUDANG – Dua kanak-kanak ditemui lemas dipercayai ketika mandi dalam kawasan empangan di Jalan Murai 2, Taman Scientex di sini hari ini.

Mangsa, Mohammad Haikal Ramzi, 12, rakannya, Muhammad Adam Faris Arman, 11, ditemui pihak bomba lemas awal pagi tadi selepas dilaporkan hilang sejak petang semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Haizrul Rahmad berkata, 19 anggota dan enam jentera dikejarkan ke lokasi kejadian yang tiba pukul 11.49 malam sejauh lapan kilometer.

Anggota bomba melakukan pencarian dua kanak-kanak lemas di bahagian tebing do kawasan empangan terbabit.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati dua mangsa iaitu kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak petang semalam.

“Pada mulanya bapa mangsa memaklumkan mangsa dikhuatiri lemas di kawasan empangan tersebut berikutan penemuan sebuah basikal dan selipar milik mangsa di lokasi kejadian.

“PKO bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Selipar dan pakaian dua mangsa lemas ditemukan di kawasan tebing empangan

Beliau berkata, pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) menemukan Mohammad Haikal pada kedalaman 2 meter dan jarak 3 meter dari tebing pada pukul 2.12 pagi.

Adam pula berjaya dijumpai pada jam 2.33 pagi tadi pada kedalaman dua meter dan jarak 15 kaki dari.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi yang melibatkan BBP Pasir Gudang dan BBP Skudai tamat pukul 3 pagi.

Terdahulu foto penemuan selipar, pakaian dan basikal dua mangsa di kawasan empangan berkenaan tular dalam aplikasi TikTok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast