Gambar Maritim Pahang

KUANTAN –  Empat kru warga Indonesia yang terselamat dalam insiden karam kapal nelayan Indonesia, KM Samudra Jaya Kelautan di perairan Kuantan baru-baru ini telah diserahkan kepada pihak Konsulat Republik Indonesia bagi urusan selanjutnya hari ini.

Kapal berkenaan sebelum ini dilaporkan berdepan keadaan laut bergelora dan ombak kuat yang menyebabkan kerosakan pada enjin sebelum hanyut selama enam hari dan akhirnya karam di perairan Malaysia ketika dalam pelayaran dari Tarempa menuju ke Batam, Indonesia.

Urusan penyerahan tersebut dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang melalui Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan dengan kerjasama Konsulat Republik Indonesia di Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kesemua empat kru berusia antara 40 hingga 65 tahun itu berada dalam keadaan selamat selepas berjaya diselamatkan oleh sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) negeri Pahang yang melintasi kawasan kejadian.

“VNT berkenaan kemudiannya membawa kesemua mangsa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan pada kira-kira jam 5.30 pagi, 8 Ogos 2026 dalam keadaan selamat.

“Sebelum itu, MRSC Kuantan menerima maklumat berkaitan kehilangan kapal nelayan berkenaan daripada BASARNAS Natuna pada 4 Ogos 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, maklumat rasmi mengenai kejadian tersebut kemudiannya diterima pada kira-kira jam 8.30 malam, 7 Ogos lepas.

Katanya, Maritim Negeri Pahang merakamkan penghargaan kepada komuniti nelayan tempatan khususnya kru VNT berkenaan, atas tindakan pantas dan keprihatinan dalam membantu menyelamatkan kesemua kru warga Indonesia tersebut.

“Kerjasama erat antara Maritim Malaysia, pihak Konsulat Republik Indonesia serta komuniti maritim amat penting dalam memastikan pengurusan insiden dan kebajikan mangsa dapat dilaksanakan dengan berkesan,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast