KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima jemputan ke Kongres Nasional Keadilan 2026 yang bermula Khamis ini, ketika hubungan kedua-dua parti menjadi perhatian susulan perkembangan politik mutakhir.
Kebiasaannya, pimpinan parti yang mempunyai hubungan atau kerjasama politik akan dijemput menghadiri kongres atau perhimpunan tahunan sebagai tetamu, namun pendekatan berbeza diambil Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini.
Sumber parti memberitahu MalaysiaGazette, keputusan untuk tidak menjemput mana-mana pimpinan BN ke kongres yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh itu dibuat secara kolektif oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Menurut sumber, keputusan berkenaan turut mengambil kira suasana dan sentimen semasa dalam kalangan anggota serta perwakilan Keadilan.
“Keputusan untuk tidak menjemput pimpinan BN adalah keputusan kolektif MPP. MPP mahu mengelakkan sebarang provokasi yang tidak sepatutnya terhadap pimpinan BN sekiranya mereka hadir.
“Pada masa sama, kita perlu menghormati semangat dan sentimen perwakilan serta anggota parti yang ketika ini masih meluap-luap susulan pertembungan dalam PRN dan apa yang berlaku di media sosial,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sumber itu berkata, kepimpinan Keadilan juga mahu memberi ruang kepada perwakilan untuk menyatakan pendirian mereka terlebih dahulu, terutama berhubung bentuk kerjasama politik yang mahu diteruskan selepas ini.
Katanya, MPP sedang menunggu perbahasan serta usul yang dijangka menyentuh kerjasama antara parti sebelum membuat sebarang penilaian lanjut.
“Kita mahu mendengar dahulu suara perwakilan. Kepimpinan sedang menunggu perbahasan dan usul berkaitan kerjasama parti.
“Daripada perbahasan itu nanti, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas apakah sebenarnya kehendak dan sentimen akar umbi,” katanya.
Difahamkan, sentimen dalam kalangan sebahagian anggota Keadilan terhadap kerjasama dengan BN semakin dingin selepas melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Rata-rata mereka dikatakan mahu bentuk kerjasama PKR, Pakatan Harapan (PH) dan BN dinilai semula berdasarkan perkembangan yang berlaku sepanjang dua pilihan raya negeri berkenaan.
Bagaimanapun, rasa tidak puas hati itu bukan semata-mata berpunca daripada keputusan pilihan raya atau kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN) selepas pilihan raya.
Sebaliknya, beberapa kenyataan pimpinan BN sebelum, ketika dan selepas PRN yang dianggap tidak sensitif turut dikatakan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan anggota Keadilan.
Perkara itu dipercayai akan menjadi antara isu yang mendapat perhatian apabila perwakilan diberikan ruang untuk berbahas pada kongres berkenaan.
Pada masa sama, sentimen untuk menilai semula hubungan dengan BN tidak bermaksud terdapat desakan supaya PKR beralih kepada PN sebagai rakan politik baharu.
Sebaliknya, tumpuan adalah terhadap sejauh mana bentuk kerjasama sedia ada dengan BN masih boleh dipertahankan serta diterima akar umbi selepas perkembangan politik mutakhir.
Justeru, perbahasan dan usul yang dibawa pada kongres kali ini dijangka menjadi petunjuk penting mengenai suhu sebenar hubungan PKR-BN serta hala tuju kerjasama kedua-dua parti menjelang pilihan raya akan datang.
Kongres Nasional Keadilan 2026 bertemakan ‘Memugar Reformasi, Membina Madani’ dijadual berlangsung di MITC, Melaka bermula Khamis ini dengan kehadiran lebih 6,000 perwakilan dan pemerhati.
Kongres berkenaan dijangka menjadi medan penting bagi akar umbi menyuarakan pendirian selepas episod PRN Johor dan Negeri Sembilan, selain menentukan isu serta tuntutan yang mahu dibawa kepimpinan parti selepas ini. – MalaysiaGazette
















