HONG KONG – Harga minyak meneruskan kenaikan kukuh pada hari Selasa berikutan harapan pembukaan semula Selat Hormuz semakin pudar.
Situasi ini sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai inflasi dan meningkatkan jangkaan bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin menaikkan kadar faedah sekurang-kurangnya sekali tahun ini.
Harga minyak mentah melonjak kira-kira 10 peratus dalam tempoh seminggu laluketika Amerika Syarikat dan Iran dilihat masih belum menghampiri sebarang persetujuan berhubung laluan perairan penting itu, meskipun Rumah Putih sebelum ini mengeluarkan kenyataan optimistik.
Harga West Texas Intermediate naik 1.5 peratus kepada AS$83.37 setong 0715 GMT manakala Brent North Sea Crude meningkat 1.3 peritus kepada AS$88.85 setong.
Dalam perkembangan terbaharu, Presiden Donald Trump berkata, beliau akan menuntut pampasan konflik daripada Iran sebagai sebahagian daripada rundingan damai, dengan merujuk kepada serangan dan pembunuhan sejak beberapa dekad lalu yang didakwa disokong atau dilakukan Tehran.
Kenyataan Trump itu dibuat sebagai tindak balas langsung terhadap tuntutan Tehran supaya AS membayar ganti rugi perang sebagai prasyarat kepada sebarang penyelesaian krisis.
Sehari sebelumnya, Trump berkata, beliau mengambil pendekatan yang lebih sederhana terhadap konflik berkenaan, memberi isyarat bahawa beliau bersedia membiarkan tekanan ekonomi meningkat berbanding melancarkan serangan ketenteraan tambahan.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu dilihat berisiko menjadikan persetujuan segera semakin sukar dicapai, dengan kedua-dua kontrak minyak mentah utama melonjak kira-kira lima peratus pada Isnin dan meningkat lebih satu peratus lagi pada Selasa.
“Tanpa sebarang berita positif mengenai rundingan untuk membuka semula selat itu, tekanan terhadap harga minyak kekal meningkat,” kata Jason Wong dari BNZ.
Sementara itu, pakar strategi global Quintex Intel, Stephen Innes berkata, kedua-dua pihak dilihat cuba menggunakan minyak sebagai senjata tanpa melancarkan serangan baharu.
“Washington cuba menyekat keupayaan Iran mengeluarkan minyak mentahnya, manakala Tehran pula mengetatkan laluan yang menjadi saluran kepada eksport minyak mentah negara lain,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu ibarat permainan berani mengambil risiko antara kedua-dua pihak.
Prospek harga minyak kekal tinggi buat sementara waktu turut menghidupkan semula kebimbangan terhadap inflasi dan meningkatkan kemungkinan kenaikan kadar faedah.
Walaupun kehilangan lebih 20,000 pekerjaan secara tidak dijangka dalam ekonomi AS bulan lalu meredakan kebimbangan mengenai kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed), peningkatan tekanan harga boleh memaksa bank pusat itu mengambil tindakan.
Presiden Fed Cleveland, Beth Hammack berkata, satu kenaikan kadar sebanyak 25 mata asas secara umumnya tidak banyak memberi kesan kepada ekonomi.
“Jadi, mungkin diperlukan beberapa kenaikan. Namun, saya tidak mahu membuat andaian terlebih dahulu mengenai jumlahnya,” katanya kepada Yahoo Finance pada Isnin.
Kebuntuan AS-Iran dan peningkatan harga minyak mentah itu berlaku ketika pelabur menantikan penerbitan data harga pengguna AS pada Rabu, yang dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan langkah seterusnya Fed.
Sementara itu, pasaran saham Asia bercampur-campur selepas prestasi hambar Wall Street.
Pasaran di Hong Kong, Shanghai, Wellington, Mumbai, Bangkok dan Jakarta masing-masing susut, manakala Seoul, Sydney, Singapura, Taipei dan Manila mencatatkan kenaikan.
Pasaran London dan Frankfurt dibuka lebih tinggi, manakala Paris tidak banyak berubah. Tokyo pula ditutup sempena cuti umum. – Agensi
















