KUALA LUMPUR – Tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika Sidang Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji hari ini disifatkan sebagai mengecewakan.
Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sekiranya benar mahu mempertahankan agama dan kepentingan umat Islam, wakil rakyat sepatutnya menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat untuk meneliti laporan berkenaan, mengemukakan soalan serta mencabar fakta yang dipersoalkan.
“Kalau betul mahu mempertahankan agama dan kepentingan umat Islam, inilah masanya untuk duduk dalam Dewan, baca laporan, tanya soalan, cabar fakta dan bahaskan satu persatu.
“Laporan RCI sudah dibentangkan untuk dibahaskan, jadi gunakanlah ruang yang ada untuk bersuara,” katanya.
Menurutnya, isu Tabung Haji bukan sekadar isu politik, sebaliknya membabitkan amanah serta wang umat Islam yang perlu dipertahankan berdasarkan fakta dan perbahasan yang matang.
“Di luar Dewan boleh kata macam-macam. Boleh tunjuk siapa paling kuat mempertahankan Islam. Tetapi apabila sampai masa untuk berbahas dalam Dewan, kenapa keluar?
“Bang Mat percaya isu Tabung Haji bukan isu politik semata-mata. Ini melibatkan amanah dan wang umat Islam. Sebab itu kita kena berani berdepan dengan fakta, bukan mengelak daripada perbahasan,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan dapatan RCI berkenaan sepatutnya menggunakan ruang Parlimen untuk menyatakan bantahan dan mengemukakan fakta bagi menyokong pendirian masing-masing.
“Kalau ada yang tak setuju dengan laporan RCI, bahaskan. Kalau ada fakta yang mahu dicabar, cabar. Kalau ada perkara yang perlu diperbetulkan, bangkitkan dalam Dewan.
“Jangan hanya jaguh di luar Dewan. Masuklah ke Dewan dan berbahas!” katanya. – MalaysiaGazette
















