KUALA LUMPUR – Simpanan dalam Lembaga Tabung Haji bukan sekadar angka dalam akaun sebaliknya membawa impian jutaan umat Islam yang mengumpul wang sedikit demi sedikit untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek berkata, atas sebab itu tindakan pembangkang memilih untuk keluar Dewan Rakyat ketika Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji dibahaskan hari ini amat mengecewakan.
Menurut Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, ada dalam kalangan pendeposit yang menyimpan bukan kerana mempunyai lebihan wang tetapi sanggup mengetepikan sebahagian pendapatan mereka dengan satu impian untuk sampai ke Tanah Suci.
“Ada orang menyimpan di Tabung Haji bukan kerana mereka punya banyak wang. Mereka menyimpan kerana punya satu impian untuk menunaikan ibadah haji, Rukun Islam kelima.
“Sebab itu Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan. Di dalamnya ada keringat dan pengorbanan jutaan rakyat Malaysia,” tegasnya hari ini.
Menteri Pendidikan itu berkata, persoalan mengenai apa yang berlaku dalam Tabung Haji serta pihak yang seharusnya bertanggungjawab telah dibangkitkan sejak bertahun-tahun lalu.
Justeru, pembentangan laporan RCI di Dewan Rakyat sepatutnya menjadi peluang kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang, untuk mendapatkan jawapan dan membongkar sebarang perkara yang dianggap tidak betul.
“Bertahun-tahun persoalan tentang Tabung Haji dibangkitkan. Apa sebenarnya berlaku? Siapa yang harus bertanggungjawab? Hari ini, laporan RCI Tabung Haji dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan secara terbuka. Kalau ada yang salah, bongkarkan. Kalau kerajaan perlu menjawab, tuntut jawapan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Fadhlina kesal apabila pembangkang memilih untuk meninggalkan Dewan ketika peluang untuk mendapatkan jawapan itu diberikan.
“Tetapi ketika tiba masanya untuk duduk dan mencari kebenaran, pembangkang memilih untuk berjalan keluar. Sedih,” luahnya.
Beliau menegaskan, perbahasan mengenai RCI Tabung Haji seharusnya melangkaui perseteruan politik kerana perkara yang dipertaruhkan ialah amanah dan simpanan jutaan umat Islam.
Baginya, perbezaan pendirian antara kerajaan dan pembangkang tidak seharusnya menjadi alasan untuk meninggalkan ruang perbahasan apabila isu sebesar Tabung Haji dibawa ke Parlimen.
“Kerana yang sedang kita bahaskan bukan soal kerajaan atau pembangkang. Kita sedang membahaskan amanah jutaan orang Islam yang menyimpan sedikit demi sedikit untuk sampai ke Tanah Suci.
“Kita boleh berbeza politik. Tetapi jangan sesekali berjalan keluar daripada amanah rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Berani di luar tapi kecut ketika bahas RCI Tabung Haji – Saifuddin
















