Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan wajah suspek pada sidang media berkaitan kejayaan Siasatan Narkotik Patahkan Rangkaian Sindiket Dadah Antarabangsa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 OGOS 2026.

SHAH ALAM – Empat warga asing dipercayai menjadi keldai dadah kepada sindiket antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit untuk menyeludup bunga ganja ke pasaran Eropah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keempat-empat mereka adalah antara sembilan suspek yang ditahan dalam Op Lejogaster selepas polis menjalankan risikan dan pemantauan terhadap kegiatan sindiket berkenaan.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan mendapatkan bekalan bunga ganja dari sebuah negara jiran di utara sebelum membawanya masuk melalui sempadan Semenanjung.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan pada sidang media berkaitan kejayaan Siasatan Narkotik Patahkan Rangkaian Sindiket Dadah Antarabangsa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 OGOS 2026.

Dadah itu kemudian disimpan sementara di beberapa rumah teres berhampiran lapangan terbang, khususnya sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang serta Nilai dan Mantin, Negeri Sembilan.

“Dadah ini kemudiannya diserahkan kepada keldai-keldai dadah untuk dibawa keluar. Pasaran yang dikenal pasti adalah ke Eropah.

“Mereka dipercayai menggunakan Lapangan Terbang Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata, lima warga asing ditahan dalam tindakan susulan di sekitar Sepang, Selangor pada 3 Ogos lalu, dengan empat daripada mereka dikenal pasti sebagai keldai dadah.

Beliau berkata, pembahagian tugas dalam sindiket itu turut dikenal pasti dengan suspek ketiga berperanan sebagai koordinator, suspek kedua sebagai pengangkut dan suspek kelima sebagai ahli sindiket, manakala suspek lain mempunyai peranan sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan

Keseluruhannya, polis menahan sembilan lelaki berusia antara 22 hingga 51 tahun terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan warga asing menerusi tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

Berdasarkan siasatan, lima daripada warga asing itu dipercayai warga Portugal berdasarkan pasport yang dimiliki, selain seorang warga Myanmar dan dua lagi warga Singapura.

Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak April lalu, manakala polis masih menyiasat kemungkinan rangkaian itu dinaungi sindiket lain serta mengesan anggota lain yang terbabit.

Menerusi Op Lejogaster, polis merampas 270.27 kilogram (kg) bunga ganja dan 0.5 gram methamphetamine yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM21.62 juta.

Rampasan itu dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 630,000 individu, manakala sitaan aset bernilai RM117,172 menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM21.73 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast