JOHOR BAHRU – Kepercayaan seorang remaja terhadap nenek tirinya untuk menjaga bayinya musnah apabila anak luar nikah tersebut maut dipercayai didera dan dibunuh dalam kejadian di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, 31 Julai lalu.
Bayi perempuan berusia setahun empat bulan itu meninggal dunia semasa berada di bawah jagaan nenek tirinya itu.
Ibu kepada bayi yang tidak sah taraf itu meninggalkan kanak-kanak malang tersebut kepada wanita berkenaan berikutan dia masih menuntut di sebuah kolej vokasional negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan daripada nenek tiri berusia 39 tahun itu pukul 9.30 pagi pada 31 Julai lalu yang mendakwa bayi itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan daripada tidur.
“Petugas kesihatan kemudiannya dipanggil bagi memberikan bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pukul 10.30 pagi hari yang sama.
“Siasatan awal dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan tidak menemukan sebarang senjata atau objek di rumah berkenaan.
Katanya, Pakar Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang kemudian menjalankan bedah siasat pada 10.15 pagi, 2 Ogos lalu dan mendapati punca kematian disebabkan oleh trauma di bahagian perut dan dada akibat objek tumpul.
“Pemeriksaan juga menemui kesan luka dan lebam di badan mangsa dipercayai akibat penganiayaan,” katanya.
Ab Rahaman berkata, kertas siasatan kemudian diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis kemudian menahan nenek tiri mangsa, datuk dan ibu kepada mangsa bagi membantu siasatan.
“Nenek tirinya akan didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok manakala dua lagi yang ditahan dibebaskan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.
Pendakwaan dibuat selepas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor kelmarin. – MalaysiaGazette
















