SHAH ALAM – Polis menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi warga asing menerusi Op Lejogaster dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta mencecah RM21.73 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi hasil risikan dan pemantauan berterusan itu membawa kepada penahanan sembilan lelaki termasuk lapan warga asing menerusi tiga serbuan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Menurut beliau, suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan lapan warga asing berusia antara 22 hingga 51 tahun.
“Op Lejogaster dilancarkan bermula 12 Julai hingga 3 Ogos hasil risikan dan pemantauan berterusan JSJN Bukit Aman dalam membongkar rangkaian sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja yang beroperasi untuk pasaran antarabangsa.
“Keseluruhan dadah yang dirampas ialah 270.27 kilogram (kg) bunga ganja dan 0.5 gram methamphetamine,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata, serbuan pertama dilakukan pada 12 Julai lalu di hadapan lobi sebuah hotel sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang yang membawa kepada penahanan dua suspek.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 menemukan dua beg bagasi mengandungi 60 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 31.72kg.
Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di sekitar Bayan Lepas dan menemukan 60 lagi bungkusan bunga ganja seberat 31.14kg.
Operasi kemudian diteruskan pada 3 Ogos lalu dengan serbuan di sebuah rumah di Taman Bukit Citra, Mantin, Negeri Sembilan yang membawa kepada penahanan suspek ketiga.
Dalam serbuan itu, polis menemukan 10 beg bagasi mengandungi 170 bungkusan disyaki bunga ganja dengan berat keseluruhan 175.76kg.

Hussein berkata, tindakan susulan kemudian membawa kepada penahanan lima lagi warga asing di sekitar Sepang, Selangor dengan empat daripada mereka dipercayai berperanan sebagai keldai dadah.
Pada hari sama, serbuan ketiga dilakukan di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang yang membawa kepada penahanan suspek kesembilan.
Pemeriksaan terhadap dua beg bagasi suspek menemukan 60 bungkusan disyaki bunga ganja seberat 31.65kg.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM21.62 juta dan jumlah itu boleh digunakan oleh kira-kira 630,000 orang. Sindiket ini dipercayai aktif sejak April tahun ini,” ujarnya.

Menurut Hussein, polis turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah bernilai RM117,172.
Antara yang disita ialah dua utas rantai, seutas gelang dan dua cincin, selain sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy S23, komputer riba Samsung serta sebuah Honda CR-V.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta menerusi operasi berkenaan berjumlah RM21.73 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















