Pengarah PTSB, Norlili Juwita Arshad.

SEBERANG JAYA – Keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang automasi dan sistem pintar yang semakin mendesak mendorong Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) merintis penubuhan Mechatronics Robotics Technology Collaborative Hub (MRTCH).

Langkah itu diambil bagi menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), selain memastikan ekosistem pendidikan terus berevolusi seiring perkembangan teknologi tinggi negara.

Pengarah PTSB, Norlili Juwita Arshad berkata, MRTCH dirangka bukan sekadar sebagai tambahan fasiliti kampus, sebaliknya menjadi pusat kecemerlangan yang mengintegrasikan simulasi dunia sebenar bagi merapatkan hubungan antara pendidikan dan keperluan industri.

“Penubuhan MRTCH adalah jambatan strategik yang menghubungkan bilik kuliah terus ke lantai kilang. Sesi libat urus melalui FGD ini merupakan penzahiran komitmen berterusan PTSB untuk mendengar denyut nadi industri, sekali gus memastikan kurikulum dan graduan TVET bersedia menjadi tunjang utama kepada keperluan tenaga mahir negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas PTSB menganjurkan sesi Focus Group Discussion (FGD) yang menghimpunkan lebih 15 wakil pemain industri utama, agensi kerajaan, badan profesional dan pakar teknologi bagi memetakan keperluan sebenar sektor Smart Manufacturing.

Tambah beliau, dapatan FGD berkenaan akan menjadi asas penyediaan blueprint pembangunan MRTCH yang antara lain memberi fokus kepada penyelarasan modul latihan teknikal dengan perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan Internet of Things (IoT).

“Selain itu, MRTCH turut memberi tumpuan kepada pendedahan praktikal pelajar dalam pengaturcaraan, penyelesaian masalah dan penyelenggaraan sistem siber-fizikal (Cyber-Physical Systems) supaya mereka terus kompeten apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.

“MRTCH juga akan menjadi platform kolaborasi bagi pensijilan profesional, penyelidikan gunaan, latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) berimpak tinggi.

“Melalui sinergi berterusan antara akademia dan industri, MRTCH dijangka memposisikan PTSB sebagai pusat rujukan rintis di wilayah utara bagi ekosistem TVET Madani yang berdaya saing, mampan dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara berteraskan inovasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast