KUALA LUMPUR – Usaha memartabatkan industri seni pementasan teater negara kekal mendapat perhatian Pusat Kebudayaan (PUSKEB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik bersama syarikat produksi tempatan, CTRA Production baru-baru ini.
Pengarah PUSKEB UKM, Mohamed Asrof Semin berkata, persetujuan dimeterai menerusi pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah itu atas kesedaran bahawa potensi seni teater tanah air tidak pernah pudar, tambahan pula ia mempunyai kelompok peminat tersendiri terdiri daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
“Penglibatan institusi pengajian seperti UKM menjayakan projek teater ini, secara tidak langsung bantu memupuk dan menyemarakkan lagi rasa cinta khususnya dalam kalangan generasi muda untuk terus memelihara seni persembahan tempatan.
“Saya juga melihat pemilihan UKM sebagai lokasi pementasan selari dengan misi Teater Muzikal Tomyam Berdarah iaitu mendidik sambil berhibur, apatah lagi pihak produksi mengangkat prospek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bidang kulinari yang terbaik untuk diterokai anak-anak muda,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menerusi kolaboratif berkenaan, Mohamed Asrof memaklumkan, UKM menyediakan ruang Panggung Seni sebagai venue rasmi pementasan Teater Muzikal Tomyam Berdarah yang dijadualkan berlangsung pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026.
“Panggung Seni bukan sahaja menawarkan ruang luas yang mampu memuatkan kapasiti ramai, malah menyediakan kemudahan lain antaranya tapak parkir percuma, mudah akses serta persekitaran kondusif bagi memastikan keselesaan penonton dan penggiat seni,” ujarnya.
Diharapkan menerusi inisiatif berkenaan mengukuhkan peranan UKM bukan sekadar gedung ilmu, malah sebagai pusat kecemerlangan yang sentiasa memartabatkan seni dan budaya warisan negara ke peringkat lebih tinggi.
Antara pelakon terbabit dalam Teater Muzikal Tomyam Berdarah ialah Karl Shafek dan Juhara Ayob serta kumpulan pelajar dan alumni daripada Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) di bawah Angkatan Seni Budaya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan UKM.
Teater Muzikal Tomyam Berdarah merupakan pementasan teater muzikal interaktif bergenre satira jenayah menggabungkan elemen komedi gelap, siasatan dramatik dan naratif makanan tempatan.
Ia bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup yang ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti – semua itu disajikan di dalam satu periuk tomyam.
Berlatarkan sebuah restoran yang sedang siap siaga menyertai pertandingan Master Chef Universe, kekecohan bermula apabila pemilik restoran, Chef Rahman ditemui mati di dalam periuk tomyam warisannya sendiri.
Dari situ, dapur menjadi lokasi jenayah dan setiap pekerja menjadi suspek — semuanya ada motif, semuanya menyimpan rahsia.
Inisiatif pementasan ini salah satu bentuk sokongan terhadap usaha kerajaan yang sentiasa proaktif memperkasakan dan mengasah kemahiran generasi muda dalam bidang kulinari sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sehingga tahap profesional.
INFO TEATER MUZIKAL TOMYAM BERDARAH
Tarikh : 28,29, 30 Ogos 2026
Masa : 3 petang dan 8.30 malam
Lokasi : Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Bangi, Selangor
Tiket : RM25 dan RM35
Cara pembelian: Layari www.ilassotickets.com atau WhatsApp Hotline (601113297822). – MalaysiaGazette
















