KUALA LUMPUR – Seramai 24 pemilik unit sebuah projek pembangunan hotel di Melaka mendakwa mengalami kerugian membabitkan nilai keseluruhan RM23.15 juta selepas menyertai skim pelaburan Pulangan Sewa Terjamin (GRR).
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada kumpulan terbabit sekitar Oktober tahun lalu, selepas pulangan sewa yang didakwa dijanjikan tidak dibayar seperti dipersetujui.
“Apa yang membimbangkan ialah mereka sudah membuat komitmen kewangan yang besar untuk membeli unit berkenaan berdasarkan tawaran pulangan sewa yang diberikan.
“Apabila pulangan itu tidak diterima seperti dijanjikan, mereka masih perlu meneruskan pembayaran pinjaman dan menanggung komitmen kewangan masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Hishamuddin, pemilik terbabit membeli unit dalam projek pembangunan hotel yang ditawarkan bersama skim GRR oleh sebuah syarikat tempatan.
Katanya, skim itu antara lain menawarkan pembayaran pulangan sewa pada kadar tertentu selepas hartanah siap dan mula beroperasi.
Bagaimanapun, masalah didakwa timbul apabila bayaran GRR tidak dibuat seperti dipersetujui sebelum pemilik diperkenalkan kepada program baharu dikenali sebagai Pulangan Sewa Terkumpul (PRR).
“Menerusi PRR, keuntungan sewaan akan diagihkan secara pro rata kepada pemilik yang bersetuju menyertai program itu.
“Bagi mereka yang tidak bersetuju, mereka didakwa perlu menguruskan sendiri unit masing-masing tanpa bantuan pihak syarikat,” ujarnya.
Hishamuddin berkata, mangsa mendakwa tawaran GRR menjadi antara faktor utama yang mendorong mereka membuat keputusan membeli unit berkenaan.
“Sekiranya sejak awal mereka diberikan gambaran sebenar mengenai bagaimana pulangan itu akan dilaksanakan dan risiko yang mungkin berlaku, persoalannya adakah mereka akan membuat keputusan untuk membeli?
“Mereka menyertai skim itu kerana ada janji pulangan. Apabila janji itu tidak dilaksanakan seperti dipersetujui, sudah tentu mereka mahu tahu apakah perlindungan yang ada untuk mereka,” tegas beliau.
Beliau berkata, aduan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada November 2025 dan mangsa hadir ke agensi berkenaan semalam bagi mendapatkan perkembangan.
Menurutnya, tempoh yang telah berlalu sejak aduan dibuat dianggap munasabah untuk kumpulan pemilik berkenaan mendapatkan penjelasan mengenai status tindakan SSM.
“Sudah beberapa bulan aduan ini dikemukakan. Mangsa datang untuk mendapatkan maklum balas dan mahu mengetahui apakah perkembangan terhadap aduan mereka.
“Kita bercakap mengenai 24 pemilik dengan nilai pembelian keseluruhan melebihi RM23 juta. Sudah tentu mereka mahu satu jawapan,” katanya.
Hishamuddin berkata, berdasarkan penelitian dan nasihat panel peguam MHO, terdapat persoalan sama ada konsep pelaburan yang menawarkan pulangan sewa atau faedah terjamin itu mempunyai ciri-ciri skim kepentingan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 4(2) Akta Skim Kepentingan 2016.
Sehubungan itu, katanya, SSM sebagai agensi yang mengawal selia akta berkenaan perlu meneliti aduan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang.
“Perkara ini bukan hanya mengenai 24 pemilik yang tampil sekarang. Kita bimbang jika tiada tindakan atau kawal selia yang berkesan, lebih ramai pembeli boleh terdedah kepada risiko skim seumpama ini.
“Kita tidak mahu orang ramai membuat komitmen kewangan yang besar kerana tertarik dengan tawaran pulangan, tetapi akhirnya terpaksa menanggung hutang apabila apa yang dijanjikan tidak diterima,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















