Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunarajah George ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Isu rumah ibadat, khususnya kuil yang berdepan persoalan status tanah, tidak seharusnya dijadikan bahan politik sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunarajah George menegaskan, ia perlu ditangani secara matang dengan mengambil kira sejarah kewujudan rumah ibadat terbabit, status tanah, kepentingan masyarakat serta keperluan pembangunan semasa sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Menurutnya, terdapat rumah ibadat yang dibina sejak puluhan tahun lalu ketika kawasan berkenaan masih merupakan ladang atau tanah pertanian dan pembinaannya dilakukan dengan pengetahuan serta kebenaran pemilik tanah ketika itu.

“Sebahagian daripada kuil-kuil ini bukan dibina semalam. Ada yang telah berdiri selama 30, 40, 50 tahun dan lebih.

“Pada ketika itu, kawasan tersebut mungkin masih merupakan kawasan ladang atau kawasan tanah pertanian.

“Kuil-kuil ini dibina dengan pengetahuan dan kebenaran pemilik tanah pada ketika tersebut,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dr Gunarajah berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila kawasan berkenaan kemudiannya dibangunkan sebagai kawasan perumahan atau komersial sehingga status tanah dan rumah ibadat yang telah lama wujud mula dipersoalkan.

“Dalam sesetengah keadaan, pemaju didakwa memindahkan rumah ibadat bagi membolehkan pembangunan dilaksanakan.

“Namun aspek pendaftaran atau penyelesaian status tanah rumah ibadat terbabit tidak diselesaikan dengan sempurna,” katanya.

Beliau mengambil contoh kawasan Sentosa yang mempunyai lebih 95,000 pengundi, namun hanya sebuah kuil yang berdaftar di atas tanah kerajaan.

“Tidak ada lain. Ini kerana banyak pemaju lepas tangan. Mereka pindahkan kuil untuk membina rumah, selepas itu tidak menguruskan supaya tanah itu didaftarkan ataupun diberi pemilikan tanah.

“Kita perlu melihat fakta, sejarah dan keadaan sebenar serta kepentingan masyarakat sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Gunarajah menyeru semua Ahli Dewan Negeri supaya tidak sekadar membangkitkan permasalahan berkaitan rumah ibadat, sebaliknya bersama-sama mencari penyelesaian yang praktikal.

Katanya, setiap isu perlu ditangani berdasarkan bidang dan punca sebenar, termasuk membabitkan aspek tanah, perancangan, keselamatan serta struktur bangunan.

“Kalau terdapat isu tanah, kita bincangkan isu tanah. Kalau terdapat isu perancangan, kita cari penyelesaian dari sudut perancangan.

“Kalau terdapat isu keselamatan atau struktur bangunan, kita selesaikan melalui agensi yang berkaitan,” katanya.

Dr Gunarajah turut menegaskan rumah ibadat pelbagai agama perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan kepercayaan.

“Jangan biarkan isu rumah ibadat dijadikan alat untuk memecahbelahkan rakyat. Jangan biarkan kuil, masjid, gereja atau tokong menjadi bahan untuk mencetuskan perpecahan.

“Sebaliknya, semua rumah ibadat perlu kita lihat sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Menurutnya, pendekatan rundingan dan penyelesaian secara berperingkat lebih wajar berbanding tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

“Kita mungkin berbeza agama, kita mungkin berbeza budaya, kita mungkin berbeza bahasa tetapi kita mempunyai satu identiti yang sama, iaitu kita adalah rakyat Malaysia.

“Jangan kita benarkan mana-mana pihak menggunakan isu agama dan rumah ibadat untuk memecahbelahkan keluarga besar Malaysia,” katanya.

Beliau menegaskan, perpaduan tidak bermaksud masyarakat perlu mempunyai agama, budaya atau bahasa yang sama, sebaliknya dibina atas asas saling menghormati perbezaan.

“Kita bersatu bukan kerana kita sama, kita bersatu kerana kita saling menghormati walaupun kita berbeza.

“Marilah kita selesaikan isu ini dengan kebijaksanaan, perbincangan dan semangat perpaduan.

“Selangor mesti terus menjadi negeri yang maju, inklusif dan harmoni di mana setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasa dihormati dan dilindungi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast