Mohd Puad Zarkashi. Foto AIZAT ZAINAL, 6 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkaitan tiada kompromi mengenai kesihatan rakyat perlu diterjemahkan, tidak hanya mendesak.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tindakan Onn Hafiz yang mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan segera isu fasiliti hospital di negeri itu disifatkan sebagai satu tindakan ‘main wayang’ jika tiada langkah proaktif dan komitmen kewangan daripada pihak kerajaan negeri sendiri.

“Kalau begitu jangan belanja berpuluh juta untuk buat benda lain sahaja.

“Tidak salah. Tetapi belanjalah juga puluhan juta ringgit untuk kesihatan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Johor perlu mengambil contoh tindakan Sarawak yang menggunakan dana sendiri bagi membina jambatan Batang Lupar.

“Jambatan Batang Lupar berharga RM849 juta.

“Itu proaktif namanya. Tidak perlu seru seru nama JKR dan PMX sahaja,” tulisnya.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut meminta Kerajaan Negeri Johor mempertimbangkan cadangan daripada pakar perubatan buah pinggang, Dr Rafidah Abdullah.

“Jika pentadbiran Johor benar-benar serius dan tidak mahu berkompromi dalam soal kesihatan rakyat, negeri itu sepatutnya berani menyalurkan peruntukan puluhan juta ringgit daripada dana negeri untuk membina serta menaik taraf fasiliti perubatan.

“Dr Rafidah turut mengesyorkan agar Onn Hafiz mempertimbangkan langkah alternatif seperti mewujudkan hospital wakaf milik Kerajaan Negeri Johor atau mengadakan kerjasama strategik bersama fasiliti hospital swasta,” katanya.

Katanya lagi, desakan demi desakan yang dibuat kepada KKM ketika ini disifatkan tidak memberi impak nyata selagi kemelut teras melibatkan kebajikan petugas kesihatan masih berlarutan.

“Selagi isu jawatan kontrak, pencen, imbuhan dan elaun petugas kesihatan belum selesai, tidak perlulah seru sangat KKM.

“Kalau setakat seru KKM, itu cuma main wayang,” katanya lagi.

Isu kapasiti hospital awam dan kesesakan di wad-wad hospital kerajaan di Johor sebelum ini sering menjadi perhatian, dengan Onn Hafiz beberapa kali mengadakan lawatan mengejut serta menggesa Putrajaya menyalurkan bantuan peruntukan dan tenaga kerja dengan kadar segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast