KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) melalui UPUOnline® bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda Sesi Akademik 2026/2027 untuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf akan diumumkan Jumaat ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, keputusan itu boleh disemak mulai pukul 12 tengah hari hingga pukul 5 petang, 23 Ogos depan.
Ujarnya, keputusan itu boleh disemak secara atas talian melalui pautan, https://upu.mohe.gov.my dan https://upu2.mohe.gov.my atau melalui aplikasi Mobile UPUPocket dan aplikasi Mobile MyGov di telefon pintar.
“Pengesahan setuju terima/tolak tawaran bermula pada 15 Ogos 2026 hingga 23 Ogos 2026 di laman web UA masing-masing.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh UA kepada calon yang berjaya mulai 15 Ogos 2026 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah KPT, hanya pemohon yang tidak berjaya mendapat tawaran sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai pukul 12 tengah hari 14 Ogos hingga pukul 5 petang pada 23 Ogos depan.
Jelasnya, tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2026/2027 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















