Exco Pelaburan, Perdagangan & Mobiliti, Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Lebih 40 syarikat kontraktor berdaftar di Selangor memperoleh tender bernilai kira-kira RM1.18 bilion bagi pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, ia membuktikan projek mega itu bukan sekadar menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur, malah turut membuka ruang besar kepada pemain industri tempatan untuk menikmati limpahan ekonomi.

Menurutnya, jika mengambil kira keseluruhan jajaran ECRL di empat negeri, syarikat kontraktor dari Selangor telah memperoleh tender berjumlah kira-kira RM3.58 bilion.

“Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) serta kontraktor utama Projek ECRL sentiasa menggalakkan penyertaan syarikat tempatan yang berkelayakan, termasuk kontraktor dari Selangor.

“Sehingga kini, pelbagai pakej kerja telah disertai kontraktor tempatan merangkumi kerja awam, pembekalan bahan binaan, utiliti, perkhidmatan profesional serta kerja-kerja sokongan,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Abdul Rashid Asari (Bebas-Selat Klang) mengenai peranan Kerajaan Negeri dalam memastikan Projek ECRL memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Selangor serta penyertaan kontraktor tempatan dalam projek berkenaan.

Sze Han berkata, penyertaan syarikat tempatan dalam projek itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti industri, malah menyediakan peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi.

Katanya, peluang berkenaan dijangka tidak terhenti selepas ECRL siap sepenuhnya kerana fasa operasi turut menawarkan ruang kepada syarikat tempatan dalam bidang penyelenggaraan, pengurusan fasiliti, perkhidmatan sokongan dan pengisian ruang niaga di stesen.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan manfaat ekonomi daripada Projek ECRL dapat dinikmati secara lebih meluas oleh syarikat tempatan dan komuniti setempat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri turut mengambil langkah memastikan ECRL memberikan manfaat lebih luas kepada rakyat melalui perancangan pembangunan bersepadu di sepanjang jajaran dan kawasan sekitar stesen.

“Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dikenal pasti sebagai hab pengangkutan strategik yang berpotensi dibangunkan berasaskan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD),” katanya.

Selain itu, jelasnya, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pembinaan laluan penghubung bagi mengintegrasikan TBG, Stesen LRT Gombak dan stesen terminal bersepadu berkenaan.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan kesalinghubungan antara pelbagai mod pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan penumpang.

“Pembangunan baharu di sekitar stesen ECRL juga akan digalakkan dengan mengambil kira integrasi pengangkutan awam, potensi pembangunan komersial dan kediaman serta impak sosioekonomi terhadap kawasan sekitar,” katanya.

Katanya lagi, pendekatan itu selaras dengan Kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PeGTa-ECRL) Selangor yang disediakan PLANMalaysia bagi mengoptimumkan pembangunan kawasan sekitar stesen dan meningkatkan daya saing ekonomi setempat.

“ECRL dijangka memperkukuh kesalinghubungan antara Pantai Barat dan Pantai Timur, termasuk menghubungkan taman-taman perindustrian, hab logistik dan Pelabuhan Klang, selain meningkatkan akses ke destinasi pelancongan.

“Kesalinghubungan ini berpotensi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, merangsang aktiviti perdagangan dan pelancongan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast