Aktiviti Sains Gempa Bumi dalam Modul Pendidikan Gempa Bumi bersama murid SK Lubok Temiang.

LABUAN – Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Bengkel Training of Trainers (TOT) Pengurangan Risiko Bencana: Modul Pendidikan Gempa Bumi yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Lubok
Temiang.

Bengkel anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) dengan kerjasama NDRC UMS itu bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran guru dalam melaksanakan pendidikan gempa bumi di sekolah.

Seramai 28 Guru Penyelaras Keselamatan (3K) dan 30 murid dari Wilayah Persekutuan Labuan menyertai bengkel tersebut bagi meningkatkan pemahaman serta kesediaan mereka dalam menghadapi risiko gempa bumi dan bencana.

Sesi ceramah dan latihan disampaikan oleh Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran, yang berkongsi pengetahuan serta kemahiran berkaitan kesiapsiagaan dan pengurusan risiko bencana.

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada konsep asas sains gempa bumi, risiko gempa bumi di Malaysia serta keselamatan gempa bumi melalui amalan Tunduk, Berlindung dan Bertahan.

Di samping itu, Pengarah NDRC, merangkap ketua delegasi NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata, melalui pendekatan Training of Trainers ini, pengetahuan yang diperoleh bukan sahaja diaplikasikan di sekolah, malah dapat disebarluaskan kepada keluarga dan komuniti, sekali gus menyokong usaha membina masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap bencana.

Tambahnya, Modul Pendidikan Gempa Bumi yang dibangunkan oleh NDRC UMS dengan pembiayaan UNICEF dan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diserapkan dalam pelaksanaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana di sekolah-sekolah
sejak tahun lalu.

Inisiatif ini menjadi medium penting dalam memperkukuh pendidikan pengurangan risiko bencana, khususnya dalam meningkatkan kesedaran warga sekolah dalam menghadapi risiko gempa bumi dan bencana yang berkaitan.

“Saya harap kerjasama yang terjalin bersama JPNWPL akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program pendidikan dan latihan berkaitan pengurangan risiko bencana, sekali gus menyokong aspirasi melahirkan sekolah dan
komuniti yang lebih bersedia menghadapi bencana.

“Program ini mencerminkan komitmen berterusan NDRC UMS dalam memperkasa pendidikan sains gempa bumi serta memperluaskan kerjasama strategik rentas sektoral dan negeri dalam pengurangan risiko bencana,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast