Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan membunuh bayi.

KOTA TINGGI – Seorang nenek tiri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia 16 bulan di sini bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Farhana Laily Shah, 39, faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapkan Hakim Hafizah Abdul Rajak.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan suri rumah kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurul Farhana didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah antara pukul lebih kurang 12.30 tengah hari pada 30 Julai hingga 9.30 pagi pada 31 Julai lepas di rumah nombor 26, Jalan SS 6/13, Taman Sri Saujana di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang dari 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh diwakili peguam Lydiana Mansor dan Farah Yasmin.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan DNA.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Datuk Ab Rahaman Arsad mengesahkan tiga individu termasuk nenek tiri mangsa ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh cucu perempuan berusia satu tahun empat bulan berikutan kejadian di Taman Sri Saujana.

Beliau dilaporkan berkata, nenek tiri mangsa sebelum ini membuat laporan polis pada 31 Julai kira-kira 9.30 pagi dengan mendakwa cucunya meninggal dunia semasa tidur di rumah berkenaan.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Pasir Gudang mendapati punca kematian mangsa disebabkan trauma pada bahagian perut dan dada akibat daya objek tumpul, selain terdapat beberapa kesan luka serta lebam pada badan mangsa. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast