Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

KUALA LUMPUR – Hospital Kapar dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027 sebelum mula beroperasi secara berperingkat menerusi empat fasa utama bermula Jun tahun yang sama.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, sasaran pengoperasian itu ditetapkan selepas mesyuarat koordinasi dan lawatan penandaarasan yang dijalankan.

Menurutnya, ia bagi memastikan kemudahan itu bersedia menampung keperluan perubatan penduduk setempat.

“Hospital berkapasiti 312 katil itu turut dilengkapi dengan fasiliti khusus bagi penanganan penyakit berjangkit serta pusat pengasingan (isolasi) bagi meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di Selangor.

“Bagi menyokong pengoperasian penuh hospital berkenaan, KKM telah memperoleh kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pengisian lebih 3,000 jawatan baharu yang akan dibawa masuk secara berfasa dari Jun 2027 hingga 2029,” katanya.

Hospital Kapar, Selangor

Beliau berkata demikian menerusi satu video ‘Dari Meja KSU’ yang dimuat naik di Facebook KKM hari ini.

Jelasnya, fasa pertama pengoperasian akan bermula dari Jun hingga Disember 2027.

“Tiga lagi fasa seterusnya akan menyusul secara berperingkat sehingga tahun 2029 bagi memastikan kelancaran pengurusan serta perkhidmatan.

“Selain persediaan tenaga kerja, KKM juga kini sedang menyelaras perolehan peralatan perubatan menerusi proses tender dan sebut harga, di samping memastikan kesediaan perkhidmatan sokongan seperti pengurusan fasiliti, kawalan keselamatan, penyediaan makanan pesakit dan pelaksana sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR).

“Pengoperasian secara berfasa ini dirancang secara strategik bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), di mana perkhidmatan yang belum dibuka pada peringkat awal akan terus disokong oleh jaringan hospital sedia ada seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam,” ujarnya.

Beliau berkata, KKM akan terus menjalankan pemantauan berterusan dan mesyuarat penyelarasan berkala bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan bagi memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast