KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mewajibkannya mendepositkan RM67.46 juta ke dalam akaun bersama sebagai syarat penangguhan pelaksanaan penghakiman membabitkan syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL.
Peguamnya, Reza Rahim berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Rosmah untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
“Kami telah diarahkan oleh Datin Seri Rosmah Mansor untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya kepada media petang ini.
Semalam, Mahkamah Tinggi memberikan penangguhan bersyarat kepada Rosmah terhadap pelaksanaan penghakiman RM67,461,027.37 sementara menunggu rayuannya dalam saman Global Royalty.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani menetapkan keseluruhan jumlah penghakiman itu perlu dimasukkan ke dalam akaun pemegang taruh bersama yang dikendalikan peguam kedua-dua pihak dalam tempoh sebulan.
Syarat berkenaan bermakna Rosmah tidak perlu membuat pembayaran terus kepada Global Royalty buat masa ini, namun wang tersebut perlu disimpan dalam akaun berkenaan sementara proses rayuan berlangsung.
Sekiranya Rosmah gagal mematuhi syarat itu dalam tempoh ditetapkan, Global Royalty bebas mengambil tindakan bagi melaksanakan penghakiman tersebut.
Marianne dalam keputusannya berpandangan kaedah itu dapat melindungi kepentingan kedua-dua pihak sementara menunggu rayuan diputuskan.
Keputusan itu juga memastikan Global Royalty mempunyai jaminan terhadap jumlah penghakiman sekiranya rayuan Rosmah gagal, manakala wang itu kekal berada di Malaysia dan boleh dikembalikan sekiranya rayuan beliau berjaya.
Sementara itu, peguam Global Royalty, Dato’ David Gurupatham berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang disifatkan memberi perlindungan terhadap penghakiman yang diperoleh anak guamnya.
Menurutnya, Rosmah perlu memastikan keseluruhan RM67.46 juta dimasukkan ke dalam akaun pemegang taruh dalam tempoh 30 hari sekiranya mahu mendapat manfaat daripada penangguhan pelaksanaan tersebut.
“Jika Datin Seri Rosmah tidak mendepositkan keseluruhan jumlah penghakiman dalam tempoh 30 hari, Global Royalty berhak meneruskan pelaksanaan penghakiman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
David berkata, dalam permohonan penangguhan berkenaan, Rosmah turut mengemukakan afidavit yang menyertakan perintah ad interim berkaitan aset yang dinyatakan mempunyai anggaran nilai kira-kira RM666.739 juta.
Menurutnya, sekiranya syarat mahkamah tidak dipatuhi, Global Royalty akan mempertimbangkan saluran penguatkuasaan yang dibenarkan undang-undang termasuk terhadap aset yang didedahkan atau dikenal pasti menerusi dokumen di hadapan mahkamah, jika dibenarkan dan bersesuaian.
Pada 10 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon memerintahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 kepada Global Royalty selepas mendapati beliau bertanggungjawab terhadap 43 barang kemas milik syarikat itu yang tidak dikembalikan.
Rosmah kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut semalam.
Pertikaian itu membabitkan 44 barang kemas mewah yang dihantar kepada Rosmah pada 2018 secara konsainan untuk dilihat dan dipilih.
Daripada jumlah tersebut, hanya satu barang kemas berjaya diperoleh semula dan dikembalikan kepada Global Royalty. -MalaysiaGazette
















