Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan nama Ketua Pengarah dan identiti AKPS serta pegawainya bagi tujuan berkaitan urusan perolehan kerajaan.

Berdasarkan aduan yang diterima, AKPS memaklumkan terdapat syarikat menerima dokumen yang didakwa sebagai Surat Setuju Terima (SST), kononnya ditandatangani Ketua Pengarah AKPS melibatkan perolehan bernilai tertentu bagi pembekalan antaranya jaket pelindung diri taktikal, set janakuasa (genset) dan alat tulis.

Menurut agensi itu, dokumen berkenaan dipercayai menggunakan tandatangan Ketua Pengarah AKPS dan pegawai berserta kepala surat yang palsu bagi menyakinkan pihak syarikat bahawa tawaran tersebut merupakan urusan rasmi daripada AKPS.

“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung penyalahgunaan nama Ketua Pengarah AKPS dan pegawainya, dan perkara ini telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan lanjut,” menurut AKPS dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan segala urusan perolehan agensi ini dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur dan peraturan perolehan kerajaan yang berkuat kuasa.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak menerima sebarang surat tawaran atau SST daripada agensi ini, adalah disarankan untuk membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komitmen kewangan,” menurut kenyataan itu.

Orang awam turut dinasihatkan untuk lebih berhati-hati bagi mengelakkan terpedaya dengan penipuan seumpama itu.  – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast