Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin ketika Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak Tahun 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 OGOS 2026

IPOH – Polis Perak telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM46.32 juta bermula Januari sehingga 10 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dadah jenis syabu, ekstasi, heroin dan ganja mencatatkan jumlah rampasan tertinggi di negeri ini.

Menurutnya, bagi Bahagian Perundangan pula, sebanyak 4,529 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,327 kertas siasatan telah dituduh, iaitu pencapaian sebanyak 96 peratus.

“Bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah, tindakan di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988 terhadap kesemua pengedar-pengedar dadah yang ditangkap telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta benda termasuk rumah, tanah, barang kemas, kenderaan dan akaun dalam bank bernilai RM4.35 juta,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di pekarangan parkir Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Alwi berkata, JSJN IPK Perak berjaya menangkap 12,916 pesalah dadah bagi tempoh yang sama.

“Bagi tangkapan pengedaran dadah, seramai 1,934 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan mengedar dadah iaitu peningkatan sebanyak 8 peratus atau 139 orang berbanding seramai 1,795 orang bagi tempoh sama pada 2025.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 299 orang ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup,” ujarnya.

Katanya, seramai 68 orang pula telah ditangkap di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 yang kebanyakannya adalah dalang atau pun perancang serta financier dalam sindiket yang telah ditumpaskan pada 2026.

“Bagi tangkapan memiliki dadah, seramai 4,482 orang telah ditangkap iaitu penurunan sebanyak 0.01 peratus berbanding 4,509 orang bagi tempoh yang sama pada tahun 2025,” jelasnya.

Tambahnya, bagi tangkapan urin pula, seramai 6,432 orang telah ditangkap iaitu penurunan sebanyak 4 peratus berbanding 6,697 orang bagi tempoh yang sama pada tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast