Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Pendidikan dan Penasihat Undang-Undang Kementerian Pendidikan (KPM) sudah diminta untuk mengadakan satu sesi khas bersama pemegang taruh berhubung pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia menjawab dan meneliti setiap kebimbangan yang dizahirkan oleh guru-guru berhubung pelaksanaan polisi itu.

Terdahulu, menurut Fadhlina, beliau memahami kegusaran yang disuarakan oleh guru-guru berhubung polis itu, dan memohon agar semua guru bertenang dan memberi ruang kepada KPM untuk menerangkan perkara tersebut secara menyeluruh.

Menjelaskan lanjut, tambahnya, polisi itu merujuk kepada perlindungan kepada semua yang terlibat dan berurusan dengan murid.

“Keutamaan KPM adalah untuk melindungi semua murid, guru dan seluruh warga sekolah.

“Sekiranya terjadi sesuatu insiden di sekolah, polisi ini memberi panduan yang terperinci berkaitan tanggungjawab semua pihak dan cara untuk menanganinya,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Tambah Fadhlina, KPM komited untuk memastikan setiap pelaksanaan dibuat secara teliti dan bertanggungjawab demi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.

Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan paksaan kepada guru untuk menandatangani aku janji kepatuhan polisi perlindungan murid melalui surat pekeliling ikhtisas (SPI) adalah sesuatu yang amat tidak wajar.

Setiausaha Agungnya, Fouzi Singon berkata, ia menidakkan usaha guru selama ini dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada murid dalam aspek perlindungan kepada mereka.

“Untuk tempoh terdekat (sebelum adanya persetujuan bersama antara NUTP dan KPM berkaitan perkara ini), pihak NUTP meminta agar semua ahli tidak menandatangani aku janji tersebut dan meminta agar semua Pengetua dan Guru Besar tidak membuat paksaan kepada guru-guru untuk menandatangani aku janji tersebut,” kata NUTP dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here