Peralatan dan sejumlah naskhah pasport palsu yang dirampas pada sidang media mengenai Operasi Khas JIM berkaitan tangkapan sindiket penghasilan pasport palsu di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 13 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Sindiket pemalsuan dokumen didalangi dua lelaki warga Bangladesh berjaya ditumpaskan menerusi serbuan di dua unit kondominium di Taman Wahyu, Kampung Batu, Kuala Lumpur semalam.

Dalam serbuan sekitar 11.30 pagi itu dilaksanakan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berdasarkan hasil maklumat dan risikan selama seminggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 29 dan 32 tahun dipercayai berperanan sebagai dalang utama sindiket yang telah aktif sejak setahun lalu.

“Serbuan ini dilakukan susulan penahanan tiga lelaki warga Indonesia pada 5 Ogos lalu dalam serbuan berkaitan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian pasport serta risikan yang telah dijalankan.

“Semakan mendapati, dalang utama ini memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan itu selain didapati menyimpan RM200,000 dalam aplikasi e-dompet dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

“Siasatan turut mendapati, sindiket ini mengenakan bayaran RM200 hingga RM300 bagi setiap pasport yang dipalsukan atau diubah suai untuk kegunaan warga asing yang gagal pemeriksaan kesihatan pekerja asing FOMEMA,” katanya dalam sidang media di Kompleks Setia Perkasa di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban menunjukkan beberapa naskhah pasport palsu yang dirampas pada sidang media mengenai Operasi Khas JIM berkaitan tangkapan sindiket penghasilan pasport palsu di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 13 OGOS 2026.

Tambah beliau, pihaknya telah merampas dua naskhah pasport Bangladesh tulen, sembilan pasport Bangladesh dipercayai palsu, (3) unit telefon bimbit, 700 helaian muka surat dan 300 kulit pasport pelbagai negara palsu.

Selain itu, pihaknya turut dirampas cap keselamatan masuk KLIA, cap keselamatan keluar Batam, Indonesia dan cap keluar Dhaka, Bangladesh yang dipercayai palsu selain komputer riba bersama pencetak.

“Modus operandi sindiket ini iaitu menawarkan khidmat kepada warga asing seperti Bangladesh, Nepal,  Pakistan, Indonesia dan Nepal di sekitar Lembah Klang untuk menjalani saringan FOMEMA namun didapati tidak melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak (unfit).

“Sindiket juga dipercayai memalsukan pasport atau memberikan endosmen palsu ke dalam pasport bagi menunjukkan pasport yang dihasilkan mempunyai rekod pergerakan keluar dan masuk yang sah,” jelasnya.

Peralatan dan sejumlah naskhah pasport palsu yang dirampas pada sidang media mengenai Operasi Khas JIM berkaitan tangkapan sindiket penghasilan pasport palsu di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 13 OGOS 2026.

Tegas Zakaria, pihaknya percaya kedua-dua suspek yang ditahan memiliki latar berlakang daripada aspek percetakan serta grafik selain kemungkinan menggunakan syarikat percetakan bagi kegiatan itu.

“Suspek dipercayai menyewa dua unit kondominium tersebut RM1,600 seunit dan ini merupakan tangkapan kali keenam membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

“Berikutan itu, kes terbabit disiasat dibawah mengikut Seksyen 55D dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 15(1)(c) akta sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here