KLANG – Sebanyak lapan juta kilogram barangan kini berada dalam kawalan pihak berkuasa di Pelabuhan Klang, di sini, setakat ini.
Komander Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penggunaan teknologi pengimbas menjadi antara komponen penting dalam usaha agensi itu memperkukuh pemeriksaan kargo.
Menurut beliau, walaupun teknologi pengimbasan ketika ini berfungsi dengan baik, namun keberkesanannya tetap bergantung kepada keupayaan manusia yang mengendali dan membuat penilaian.
“Scanner bagi saya efisien. Tetapi perlu faham, scanner kita masih dikawal oleh manusia.
“Faktor manusia itu ada dan kita kena ingat, ia mempunyai limitasi.
“Tetapi selain daripada itu, scanner berfungsi dengan sangat baik,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Pelabuhan Klang Utara, di sini, hari ini.
Menurut Nik Ezanee, AKPS masih mempunyai ruang untuk meningkatkan kemahiran anggota yang mengendalikan pengimbas menerusi latihan berterusan.
Jelasnya, latihan penting bagi memastikan pegawai dan anggota dapat mengenal pasti imej atau bentuk muatan mencurigakan dengan lebih tepat serta meminimumkan kemungkinan kelemahan dalam proses pemeriksaan.
“Kita masih ada masa untuk melatih pengendali scanner kita untuk terus menjalankan tugas mereka dengan terbaik,” katanya.
Dalam masa sama, Nik Ezanee menegaskan AKPS tidak akan menghentikan usaha pemeriksaan walaupun menyedari wujudnya cabaran dari segi teknologi dan faktor manusia.
“Kita tidak pernah berhenti. Kita tidak pernah give up. Kami dan scanner ini, kami bersama. Jadi kita akan teruskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















