KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pemilik akaun media sosial yang didakwanya memfitnah serta memburukkan reputasinya berhubung pelbagai isu berkaitan Tabung Haji.
Katanya, Notis Tuntutan (LOD) bagi saman fitnah berjumlah RM5 juta akan mula disediakan dan diserahkan kepada yang berkaitan secara berperingkat mulai petang ini menerusi peguamnya, Datuk Adnan Seman.
“Insya-Allah, bermula petang ini, secara berperingkat Notis-Notis Tuntutan (LOD) akan mula disediakan dan diserahkan kepada pemilik-pemilik akaun yang berniat jahat untuk memburukkan nama, menjatuhkan reputasi dan mencemarkan maruah saya melalui penyebaran dakwaan yang tidak benar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, sekiranya mahkamah memutuskan sebarang jumlah pampasan diterima menerusi saman berkenaan, wang itu akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (MARA) .
“Bukan wang yang saya cari tapi insya-Allah, Allah akan tunjukkan kebenaran di muka pengadilan. Sebagaimana saman-saman terdahulu, saya bertekad untuk menyalurkan setiap sen wang yang diterima dan ditentukan oleh Mahkamah kelak ke Yayasan Pelajaran MARA untuk menfaat pelajar-pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya lagi.
Terdahulu Asyraf Wajdi menafikan terbabit dalam keputusan TH dalam memeterai perjanjian lanjutan pajakan hotel di Madinah dan Makkah dengan syarikat Al-Rawda ketika menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 2017.
Jelasnya, sebagai timbalan menteri pada ketika itu, beliau tiada sebarang kuasa untuk terlibat dalam proses mahupun meluluskan sebarang perjalanan dan operasi termasuk perjanjian melibatkan institusi itu.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kepada satu gambar tular di Threads semalam.
Gambar tersebut menunjukkan Asyraf Wajdi bersama Pengerusi TH ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan beberapa pihak lain hadir dalam majlis pemeteraian perjanjian lanjutan pajakan hotel di Madinah dan Makkah selama 10 tahun antara TH dengan syarikat Al-Rawda.- MalaysiaGazette
















