Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyampaikan ucapan pergulungan pada sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – PKR perlu mengakui parti itu masih gagal melahirkan tokoh yang mampu berdiri setara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sekali gus menawarkan alternatif kepimpinan yang benar-benar diyakini rakyat di negeri itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kemenangan besar Onn Hafiz di Johor merupakan kenyataan pahit yang perlu diterima dan dijadikan bahan untuk parti melakukan muhasabah.

“Saya nak sebut di sini, Onn Hafiz menang besar di Johor. Ini kenyataan pahit yang kita perlu telan.

“Menang bergaya di Johor kerana kita gagal melahirkan seorang watak dan tokoh yang mampu duduk setara dengan Onn Hafiz di Johor,” katanya ketika menggulung perbahasan pada kongres AMK 2026 di MITC di sini hari ini.

Menurut Kamil, perkara itu merupakan realiti yang perlu direnung bagi melihat sama ada PKR sudah berjaya memposisikan tokoh yang mampu menawarkan alternatif kepada kepimpinan sedia ada.

Selain soal kepimpinan, katanya, keupayaan PKR menguasai dan memahami isu yang dekat dengan rakyat juga perlu diberi perhatian serius.

“Yang terakhir ialah keupayaan kita ini untuk menguasai dan memahami isu. Kerana ini ialah satu perkara yang penting. Orang akan bertanya kepada kita, kenapa jadi macam ini? Kenapa hal ini boleh berlaku?” soalnya.

Kamil juga menyentuh perkembangan politik semasa dan keperluan PKR memahami isu yang menjadi perhatian masyarakat.

Menurut beliau, antara isu yang turut menjadi perbincangan ketika ini ialah kenyataan Dewan Ulama Pas berkaitan kewajipan mengundi yang dikaitkan dengan isu judi.

“Dua tiga hari ini sibuk, ada orang sebut tentang, tengok… Dewan Ulama keluarkan kenyataan wajib undi (Pas) sebab apa? Sebab masalah judi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast