Tangkap layar rakaman video nahas antara lori tanker dengan kereta di Jalan Temerloh-Triang, Temerloh

TEMERLOH – Pihak polis masih dalam proses siasatan mengenal pasti mangsa yang terbabit dalam nahas membabitkan sebuah lori tanker dengan sebuah kereta Perodua Bezza di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kejadian itu dilaporkan kira-kira 4.30 petang tadi oleh orang awam.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati sebuah lori tanker bermuatan 32,000 liter bahan bakar diesel dan petrol datang dari Seremban menghala ke Temerloh dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa yang sama, sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Bezza telah bertembung dengan bahagian sisi lori tanker berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Nasyim berkata, kemalangan telah menyebabkan lori tanker terbalik dan menghempap kereta tersebut dan mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Mohd Nasyim berkata, pemandu lori yang merupakan lelaki berusia 37 tahun berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Bagaimanapun, dipercayai pemandu serta penumpang dalam kereta terbabit gagal untuk menyelamatkan diri dan dikhuatiri terbakar dalam kenderaan itu.

“Butiran lanjut mengenai mangsa serta jumlah mangsa dalam kereta tersebut masih dalam siasatan kerana keadaan kereta yang remuk,” jelasnya.

Beliau memaklumkan api berjaya dikawal oleh pihak bomba kira-kira jam 8 malam tadi ekoran berdepan kesukaran memadam kebakaran berpunca akibat bahan api petrol dan diesel.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana pemandu lori tanker itu akan ditahan bagi tujuan siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast