Gambar hiasan

KUANTAN – Polis menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes samun berkumpulan bersenjata melibatkan dua premis makanan di Jalan Galing pada 11 Ogos lepas untuk tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.45 malam.

“Ketika kejadian, dipercayai tujuh buah kereta tiba dan berhenti di tengah jalan antara dua buah premis makanan di lokasi tersebut.

“Dua lelaki bertopeng memegang kayu baseball dan kayu golf telah datang ke kedai pertama, manakala lebih 10 orang memakai topeng muka dan memegang kayu baseball, kayu golf dan parang pula menuju ke premis kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ashari, semua suspek bertopeng muka telah merosakkan harta benda milik kedua-dua kedai terbabit  dan salah seorang daripada mereka turut mengambil wang tunai serta merosakkan telefon pintar pemilik salah sebuah kedai itu.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut bagi mengenal pasti punca serta pihak yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dapat dibuat lagi kerana siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat serta bukti berkaitan kes tersebut,” jelasnya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nur Hazirah Muhammad di talian 09-5652074 atau hadir ke mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast