GARDEN CITY, Amerika Syarikat – Presiden Donald Trump berkata, beliau akan “menyelesaikan kekalahan” Iran dan “tidak lama lagi” mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada wilayah Amerika Syarikat.
Trump berulang kali mendakwa laluan perairan penting bagi sektor tenaga itu, yang secara berkesan ditutup Tehran pada awal perang di Asia Barat, kini berada di bawah kawalan AS.
Namun, dakwaan itu dinafikan Iran.
“Selepas kita selesai mengalahkan Iran, yang kini sedang dikalahkan dengan teruk — tidak lama lagi saya akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika Syarikat. Ini benar,” katanya sambil ketawa ketika menghadiri perhimpunan politik di sebuah akademi polis di New York.
Bagaimanapun, seorang pegawai White House yang tidak dinamakan kemudian menjelaskan bahawa Trump hanya bergurau, lapor Wall Street Journal.
Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi membalas kenyataan itu pada Sabtu menerusi satu hantaran di X dengan menegaskan, “Selat Hormuz adalah milik Iran, kekal milik Iran dan akan terus menjadi milik Iran.”
“Selat ini hanya akan ditutup dan dibuka atas arahan Iran,” katanya.
Trump bersama Israel melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari, sebelum Tehran bertindak balas dengan menguasai secara de facto sebahagian besar Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran komoditi dunia.
Amerika Syarikat dan Iran masih berdepan kebuntuan berhubung selat berkenaan, dengan Iran menyekat akses sebahagian besar kapal dagang awam, manakala Tentera Laut AS melaksanakan sekatan terhadap pelabuhan Iran dalam usaha melemahkan ekonomi negara itu.
“Kita mempunyai sekatan. Tiada kapal boleh melaluinya kecuali jika kita membenarkannya,” kata Trump kepada penyokong dan anggota polis yang bersorak. – Agensi
















