Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Akmal Saleh mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan siapa pemimpin UMNO yang didakwa pernah membantah pemberian peruntukan kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional.

“Cuba YAB PMX beritahu siapa pemimpin UMNO tersebut, kami pun nak tahu juga.

“Ke perlu tunggu tiga tahun lagi baru boleh beritahu?” soalnya.,” kata Ketua Pemuda UMNO itu yang memetik kenyataan Anwar.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini, Anwar menafikan dakwaan bahawa pentadbirannya meminggirkan negeri-negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mendakwa pemimpin UMNO pernah membantah pemberian peruntukan berkenaan.

“Rakan-rakan saya di Kedah, Kelantan dan Terengganu, banyak tegur saya. Banyak rakan-rakan dalam UMNO tegur.

“(Mereka dalam UMNO berkata) ‘Anwar, ini dasar yang salah. Kenapa bantu?. Walaupun dia nampak bekerjasama di peringkat negeri, tetapi mereka tidak setuju saya luluskan bantuan untuk Kelantan, Terengganu dan sebagainya,” kata Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook, Akmal berkata, Anwar adalah perdana menteri dan kuasa berada ditangannya.

“Wahai YAB DS Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia tau. Kuasa itu berada di tangan YAB PMX.

“Kalau YAB PMX beritahu sahaja, terus perkara ini boleh disalurkan. Bukan di tangan timbalan perdana menteri,” katanya.

Lantaran itu, Akmal mempersoalkan kenyataan Anwar yang mengheret UMNO dalam isu berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast