PUTRAJAYA – DAP masih mempunyai lebih setahun untuk membetulkan dasar yang tidak disenangi rakyat dan meraih semula sokongan mereka sebelum pilihan raya umum akan datang, kata perwakilan dari Perak.
Ng Thien Yong berkata, parti tidak seharusnya berputus asa atau memilih untuk keluar daripada kerajaan hanya kerana berdepan kegagalan dan kekecewaan ketika ini.
Sebaliknya, kata beliau, DAP perlu menggunakan tempoh yang masih ada untuk memperbaiki kelemahan serta memastikan mandat yang diberikan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak dipersia-siakan.
“Kita masih ada lebih setahun untuk mengubah dasar-dasar yang tidak menggembirakan rakyat dan mendapatkan semula sokongan mereka,” katanya ketika membahaskan usul mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.
Menurutnya, pengundi memberikan mandat kepada DAP untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan harapan parti itu dapat membawa perubahan serta memperbaiki negara.
Katanya, jika DAP memilih untuk meninggalkan kerajaan sekarang, keputusan itu berisiko menambah kekecewaan rakyat yang telah memberikan mandat kepada parti.
Beliau berkata, DAP perlu terus kekal dalam kerajaan dan menggunakan kedudukan tersebut untuk memimpin pembaharuan, termasuk melakukan pembetulan terhadap dasar yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Dalam pada itu, perwakilan tersebut mengingatkan parti supaya tidak melupakan sejarah perjuangan DAP yang pernah melalui tempoh jauh lebih sukar.
Katanya, kira-kira 40 tahun lalu, parti itu berdepan kekurangan dana, tenaga manusia dan sumber, malah pemimpin serta anggota parti ketika itu turut berdepan risiko ditangkap dan dipenjarakan.
Menurutnya, kemampuan DAP mencapai usia 60 tahun membuktikan parti itu mempunyai ketahanan untuk menghadapi tempoh sukar dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.
“Kalau kita boleh bertahan ketika zaman paling sukar, mengapa kita mahu berputus asa sekarang hanya kerana menghadapi kegagalan?” katanya.
Beliau berkata, kegagalan yang berlaku ketika ini sepatutnya menjadi ruang untuk parti melakukan pembetulan, bukannya alasan untuk meninggalkan kerajaan.
Katanya, harapan hanya wujud sekiranya parti terus bertahan dan berusaha memperbaiki keadaan, terutama dalam tempoh lebih setahun yang masih berbaki.
Beliau menyeru perwakilan supaya membuat keputusan penting yang bukan sahaja menjaga kepentingan parti, tetapi turut menghormati mandat pengundi dan perjuangan generasi terdahulu.
“Jangan kita berputus asa. Kita perlu terus berpegang teguh, kekal dalam kerajaan dan terus memimpin pembaharuan,” katanya.
Menurutnya, DAP perlu menggunakan tempoh yang ada untuk membuktikan kepada rakyat bahawa keputusan untuk menyertai kerajaan membawa perubahan yang boleh dirasai, sebelum kembali mendapatkan mandat mereka pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, perjuangan parti selama enam dekad tidak seharusnya berakhir dengan keputusan berdasarkan kekecewaan semasa, sebaliknya perlu diteruskan dengan keberanian untuk memperbaiki kesilapan dan mendapatkan semula kepercayaan rakyat. -MalaysiaGazette
















