GEORGE TOWN – DAP tidak perlu berdiam diri semata-mata untuk menjaga hati rakan politik, sebaliknya sebarang ketidaksetujuan terhadap kenyataannya perlu dijawab berdasarkan fakta dan hujah.

DAPSY Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, DAP dan PKR ialah rakan dalam Pakatan Harapan (PH), justeru kesepakatan dalam gabungan itu perlu dibina atas prinsip yang dipersetujui bersama.

“Dalam politik, ukuran kebenaran tidak sepatutnya ditentukan oleh sama ada sesuatu kenyataan itu menyenangkan atau menyusahkan pemimpin parti tertentu.

“Jika kenyataan itu salah, bantahlah dengan fakta. Jika tidak bersetuju, jawab dengan hujah. Tetapi jangan meminta DAP berdiam diri semata-mata untuk menjaga perasaan rakan politik,” katanya di sini.

Menurut DAPSY Pulau Pinang, jika kenyataan DAP dibuat secara adil, berasaskan fakta, berpandukan prinsip PH dan demi kepentingan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, maka DAP tidak wajar dikecam hanya kerana kenyataan itu tidak menyenangkan hati sesetengah pemimpin PKR.

“DAP dan PKR ialah rakan dalam Pakatan Harapan, bukan pihak yang seorang mesti menjaga hati seorang lagi.

“Kesepakatan dalam PH mesti dibina atas prinsip yang dipersetujui bersama, bukan atas tuntutan supaya mana-mana parti mengorbankan pendirian apabila ia tidak menyenangkan rakan sendiri,” katanya.

Menurut DAPSY Pulau Pinang, perkara paling utama ialah kepentingan rakyat dan amanah yang diberikan kepada PH.

“Kalau kita benar-benar percaya kepada reformasi, keadilan, demokrasi dan pentadbiran yang berpihak kepada rakyat, maka kita juga mesti bersedia menerima teguran daripada rakan sendiri.

“Jangan apabila DAP bersuara atas prinsip, ia dianggap menyerang PKR tetapi apabila suara yang sama menyenangkan PKR, ia pula dianggap sebagai suara Pakatan Harapan.

“Prinsip tidak sepatutnya berubah mengikut siapa yang terasa atau siapa yang mendapat manfaat politik daripada sesuatu kenyataan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pemuda PKR Pulau Pinang meminta pemimpin DAP mengurangkan kenyataan kontroversi yang didakwa boleh mengganggu usaha kerajaan memulihkan ekonomi dan keyakinan rakyat.

Exco Pemuda PKR Pulau Pinang, Fadli Roslan, menegaskan semua pihak dalam kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negara, bukan mencetuskan ketegangan sesama parti.

“Nak kawan, elok-elok. Nak majukan negara, mari sama-sama bangunkan, tetapi jangan rosakkan keadaan ini.

“Kesianlah kepada kami. Dah penat-penat pulih kerajaan, hari ini (ada yang) cuba mengganggu keadaan ini,” katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Pemuda PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here