Hajiji Noor hadir sebagai jemputan khas ke Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, semalam.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menghargai kehadiran Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai jemputan khas ke Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, semalam.

Menurut Mustapha, kehadiran Hajiji bersama pimpinan GRS itu mencerminkan hubungan dan semangat kerjasama yang terus dipupuk antara kepimpinan Sabah dengan PKR di peringkat Persekutuan, khususnya dalam memastikan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat Sabah terus diberikan perhatian.

Ujarnya, sebagai parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR mempunyai tanggungjawab besar dalam memimpin Kerajaan Madani untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif, seimbang dan mengambil kira keperluan serta keunikan setiap wilayah, termasuk Sabah.

“Bagi KEADILAN Sabah, kerjasama ini bukan semata-mata soal politik.

“Keutamaan kita ialah memastikan kestabilan dapat diterjemahkan kepada pembangunan, peluang ekonomi, kemudahan asas yang lebih baik serta penyelesaian terhadap isu-isu yang dekat dengan kehidupan rakyat Sabah,” katanya menerusi Facebooknya semalam.

Menurut Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), PKR akan terus konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah, termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dalam kerangka Persekutuan yang adil serta menghormati kedudukan dan keistimewaan Sabah.

Katanya, PKR Sabah juga menyampaikan suara rakyat Sabah dan Sarawak agar kuota diesel dinaikkan ke 500 liter dan mengembalikan kuota petrol BUDI95 ke 300 liter seperti sebelum ini.

Ujarnya, untuk mengurangkan ketirisan, wakil pembahas Sabah, Junaidah Makku turut mengemukakan cadangan mengehadkan pengeluaran 125 liter seminggu.

“Saya turut menghargai kehadiran pimpinan dan wakil rakyat GRS, antaranya Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Datuk Rubin Balang, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Datuk James Ratib, Datuk Mohd Razali Mohd Razi dan Encik Syed Ahmad Syed Abas.

“Kehadiran mereka ke Kongres Nasional KEADILAN membawa mesej bahawa perbezaan parti tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita duduk bersama dan membina persefahaman apabila melibatkan kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Tambah beliau, PKR Sabah akan terus menjadi jambatan yang memperkukuh hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan, sambil memastikan suara, aspirasi dan keperluan rakyat Sabah sentiasa berada dalam agenda utama Kerajaan Madani. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here