Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan pergulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak menganggap kuasa dan jawatan sebagai milik peribadi, sebaliknya melihatnya sebagai amanah yang perlu dipelihara dengan perjuangan reformasi mesti diteruskan secara berterusan meskipun parti kini berada dalam kerajaan.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, jawatan dan gelaran dalam politik hanya bersifat sementara, namun kerja serta nilai yang diperjuangkan akan menjadi legasi yang kekal kepada generasi akan datang.

“Jawatan berganti, gelaran pudar, nama akan senyap daripada disebut-sebut, tapi yang kekal adalah kerja yang kita tinggalkan dan nilai yang kita pertahankan, dan itulah yang akan terus hidup selepas kita!” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2026 di sini, hari ini.

Menurut Nurul Izzah, dalam tradisi perjuangan PKR, amanah tidak pernah menjadi milik peribadi kerana setiap individu hanya menerima dan memikul amanah untuk satu tempoh sebelum ia diteruskan oleh orang lain dalam bentuk perjuangan yang berbeza.

Katanya, prinsip itu lebih penting ketika PKR kini menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana kuasa yang dimiliki perlu diterjemahkan kepada tanggungjawab kepada rakyat.

“Kepimpinan ini bukan soal memiliki kuasa, tapi ia memelihara amanah. Jadi saya percaya kuasa datang dengan tanggungjawab, dan institusi mesti lebih kuat daripada individu,” ujarnya.

Beliau berkata, perjuangan reformasi juga tidak boleh terhenti hanya kerana PKR sudah berada dalam kerajaan, sebaliknya parti perlu terus melakukan pembaharuan melalui kritikan membina serta reformasi dalaman dan luaran.

“Reformasi ini menjadi lebih kuat kalau kita berkata memberi kritikan membina, tapi ia juga satu perjuangan, it’s constant, constant external reform, internal reform,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan pengalaman berada dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ruang untuk mematangkan perjuangan termasuk membina jambatan dengan pihak lain di Putrajaya.

“Kita kena take the higher road. Itu dugaan kita! Terpaksa bersama dalam satu Kerajaan Perpaduan,” tambahnya.

Beliau turut menyentuh pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai antara contoh perubahan yang dapat dilaksanakan apabila PKR mempunyai kuasa dalam kerajaan.

“Bila dah pegang kuasa, kita mansuhkan AUKU!” katanya.

Mengulas ekonomi negara, Nurul Izzah berkata, pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya hanya dilihat berdasarkan angka, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat menerusi peluang pekerjaan, penyertaan wanita dan golongan muda serta peningkatan pendapatan pekerja.

Katanya lagi, reformasi struktur juga perlu diteruskan bagi memastikan peningkatan produktiviti bergerak seiring dengan kenaikan gaji dan pengagihan ekonomi yang lebih adil.

Dalam pada itu, Nurul Izzah mengingatkan, anggota PKR tidak menggunakan agama untuk menanam kebencian, sebaliknya menjadikan ajaran agama sebagai asas kepada perpaduan dan persaudaraan.

Beliau berkata, kekuatan PKR terletak pada keupayaannya menghimpunkan suara dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu wadah perjuangan.

Katanya, perjuangan parti perlu dibina untuk tempoh panjang dan tidak hanya tertumpu kepada sasaran politik jangka pendek.

“Bila Amir (Datuk Seri Amirudin Shari) kata dia tak sasarkan lima, 10, 15 tahun, dia sebut 100 tahun! That’s a very long time, tapi insya-Allah itu yang kita mahu bina,” kata beliau. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast