SHah Alam – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen sebagai langkah wajar yang perlu dijadikan permulaan kepada penambahbaikan sistem peruntukan kepada wakil rakyat.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu antara isu yang dibangkitkan dan diperjuangkan secara konsisten oleh ahli Parlimen sebelum ini.
“Alhamdulillah, kita (PN) berterima kasih kepada perdana menteri kerana melihat perkara ini sebagai satu kewajaran yang perlu diberikan.
“Saya berharap semua ahli Parlimen dapat memanfaatkannya semaksimum mungkin untuk rakyat masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis Hi Tea RTD Peace & Harmony di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, PN terbuka sekiranya peruntukan berkenaan disalurkan menerusi agensi kerajaan yang berkaitan, namun ahli Parlimen perlu diberikan ruang untuk menentukan keutamaan projek dan keperluan rakyat di kawasan masing-masing.
Katanya, penyaluran peruntukan menerusi agensi kerajaan bukan perkara baharu kerana pendekatan sama pernah dilaksanakan sebelum ini termasuk melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
“Peruntukan tidak semestinya memerlukan Ahli Parlimen menguruskannya semua. Model sebelum ini juga diuruskan oleh agensi kerajaan seperti ICU dan lain-lain.
“Paling tidak, setiap ahli Parlimen ada peranan masing-masing untuk menentukan sama ada sesuatu peruntukan atau projek itu wajar dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, perdana menteri hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen.
Anwar berkata, peruntukan berkenaan tidak akan disalurkan terus menerusi ahli Parlimen, sebaliknya melalui agensi kerajaan yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette
















