Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menyebabkan dalil agama ditukar atau digunakan untuk menyerang pihak yang sebelum ini dianggap sebagai rakan, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, politik tidak wajar diberikan konotasi agama sehingga ayat-ayat al-Quran dipilih dan digunakan berdasarkan kedudukan seseorang sama ada sebagai rakan atau lawan politik.

Menurutnya, keadaan itu boleh berlaku apabila pihak yang sebelum ini dianggap sebagai kawan tiba-tiba dilihat sebagai lawan selepas berlaku perubahan pendirian atau percaturan politik.

“Kalau kita pilih rakyat, kita gunakan ayat dalam al-Quran dan dipilih ayat yang sesuai. Kalau nanti kita berubah untuk menganggap mereka sebagai lawan, kita gunakan semua ayat yang sama, tapi ayat lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, pendekatan sedemikian tidak wajar kerana perbezaan pendapat dalam politik tidak semestinya bermaksud seseorang itu perlu dianggap sebagai musuh.

Sebaliknya, kata beliau, perbezaan pandangan perlu dihadapi menerusi hujah dan dalil yang munasabah, bukannya didorong ego atau hawa nafsu sehingga agama dijadikan alat untuk menyerang pihak lain.

Beliau berkata, Islam sendiri mengajar umatnya untuk berdepan dengan perbezaan pandangan secara beradab dan berasaskan dalil, termasuk ketika berlaku perselisihan dalam perkara berkaitan agama.

Justeru, Saifuddin Nasution mengingatkan ahli PKR supaya tidak terikut-ikut dengan pendekatan politik yang menjadikan perbezaan pendirian sebagai alasan untuk melabel atau memburukkan pihak lain menggunakan agama.

Katanya, perubahan hubungan politik tidak seharusnya mengubah prinsip dalam memahami dan menghormati perbezaan pendapat, sebaliknya semua pihak perlu kekal rasional dalam menghadapi perbezaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here