KUALA LUMPUR – Kempen `Dana Sumbangan Rakyat Untuk Membiayai Kos Mahkamah Isu Pengharaman Judi’ telah mencapai sasaran diperlukan.
Sehubungan itu, Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, dana itu kini dihentikan serta-merta.
“Pihak penganjur kutipan akan menghubungi pihak berautoriti Kerajaan Negeri berhubung penyaluran sepenuhnya dana tersebut bagi mempastikan ianya mengikut Undang-undang dan Peraturan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, Zulkifli memaklumkan, sekumpulan rakyat Malaysia yang prihatin bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia untuk membiayai kos prosiding mahkamah bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah setelah gagal mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan dalam isu penguatkuasaan larangan berjudi di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu.
Sehubungan itu, ujarnya, pejabat Menteri Besar memberi persetujuan agar Yayasan Kedah Sejahtera (YKS) bertindak sebagai pengumpul dana untuk tujuan tersebut.
Kutipan tersebut diurus dan akan diserahkan kepada pihak yang berkenaan menurut saluran undang-undang dan tatacara kewangan YKS dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran kos yang diperintahkan mahkamah.
Minggu lalu, Kerajaan Negeri Kedah gagal memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan pengeluaran dan memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu.
Ia selepas panel tiga hakim yang diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak permohonan yang difailkan kerajaan negeri itu.
Mahkamah turut memerintahkan kos sebanyak RM50,000 dibayar kepada enam responden yang juga pengendali syarikat pertaruhan.
Pada 2022, Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian di negeri itu, menyebabkan lesen sedia ada tidak disambung selepas tempoh sahnya tamat.
Keputusan itu kemudian dicabar oleh beberapa syarikat pengendali perjudian yang memfailkan tindakan di Mahkamah Tinggi Alor Setar, antaranya dengan alasan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang pengeluaran dan pembaharuan lesen berkenaan. – MalaysiaGazette
















