KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) yang didakwa mengalami kerugian 100 peratus.
Beliau berkata, jawapan bertulis yang sidang Dewan Rakyat yang diterimanya dari menteri berkaitan mendedahkan sebanyak tujuh pelaburan TH yang mengalami kerugian sepenuhnya.
“Paling teruk pelaburan Al-Rawda. Kalau baca, memang naik darah,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurut Syed Saddiq, lebih RM1.5 bilion dibayar secara pendahuluan kepada Al-Rawda sebagai pihak orang tengah.
Namun katanya, pelaburan berkenaan didakwa tidak disertakan jaminan bank.
Beliau turut mempersoalkan proses due diligence yang dijalankan serta bentuk perlindungan terhadap dana TH dalam pelaburan tersebut.
“Tiada jaminan bank. Due diligence hancur. Perlindungan TH cuma nota janji yang dijamin secara peribadi,” katanya lagi.

Menurut Syed Saddiq, manfaat penginapan kepada jemaah haji yang sepatutnya diperoleh menerusi pelaburan itu juga tidak diterima seperti yang dirancang.
Malah, dakwanya, kutipan sewa turut terhenti selama bertahun-tahun.
“Manfaat penginapan untuk jemaah pula tidak diterima seperti dirancang. Kutipan sewa terhenti bertahun-tahun.
“Billions paid yet nothing to show for it. Pelik bin ajaib,” katanya lagi.
Beliau sebelum itu berkata, pendedahan berhubung tujuh pelaburan yang mengalami kerugian 100 peratus itu dibuat berdasarkan jawapan bertulis yang diterimanya daripada menteri berkenaan.
Syed Saddiq turut membangkitkan persoalan mengenai tatakelola, proses penilaian risiko dan mekanisme perlindungan dana TH dalam membuat keputusan pelaburan berkenaan.-MalaysiaGazette
















