GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai universiti nombor satu di Malaysia dalam Academic Ranking of World Universities (ARWU) 2026.
USM dalam kenyataan berkata, pencapaian itu turut menyaksikan kedudukannya meningkat 149 anak tangga kepada tempat ke-581 dunia berbanding kedudukan ke-730 pada 2025.
Menurutnya, di peringkat nasional, USM turut meningkat daripada kedudukan ketiga kepada tempat pertama di Malaysia.
“Pencapaian ini amat signifikan kerana ARWU bukan sekadar mengukur reputasi atau persepsi terhadap sesebuah universiti, sebaliknya menggunakan indikator berasaskan pencapaian akademik dan penyelidikan yang sangat kompetitif.
“30 peratus daripada keseluruhan penilaian ARWU berkaitan pemenang Nobel Prize dan Fields Medal, manakala 20 peratus lagi diberikan kepada Highly Cited Researchers.
“Ini bermakna separuh daripada penilaian ARWU berkait secara langsung dengan pencapaian akademik bertaraf dunia dan penyelidik yang mempunyai pengaruh sitasi yang sangat tinggi,” kata kenyataan itu.
ARWU yang turut dikenali sebagai ShanghaiRanking menilai antaranya alumni dan staf yang memenangi Hadiah Nobel dan Fields Medal, jumlah Highly Cited Researchers (HiCi) yang diiktiraf Clarivate, penerbitan dalam jurnal Nature dan Science, penerbitan yang diindeks dalam Science Citation Index-Expanded (SCIE) dan Social Sciences Citation Index (SSCI), serta prestasi akademik per kapita institusi.
Dalam ARWU 2026, prestasi Publication (PUB) USM berada pada kedudukan ke-424 dunia, manakala indikator Highly Cited Researchers (HiCi) berada pada kedudukan ke-503 dunia.
Tambah USM, HiCi bukan sekadar mengukur jumlah penerbitan seseorang penyelidik, sebaliknya mengambil kira penyelidik yang dikenal pasti Clarivate sebagai Highly Cited Researchers, iaitu kelompok penyelidik yang karya mereka mempunyai pengaruh sitasi sangat tinggi dalam bidang masing-masing.
Katanya, peningkatan dalam indikator HiCi menunjukkan penyelidikan yang dihasilkan warga USM semakin dirujuk dan memberi pengaruh kepada perkembangan ilmu di peringkat antarabangsa.
“Lebih 2,500 universiti di seluruh dunia dinilai oleh ARWU setiap tahun, dengan hanya 1,000 universiti terbaik dunia diterbitkan dalam ranking tersebut.
“Justeru, kemampuan USM untuk melonjak 149 kedudukan dalam tempoh hanya setahun merupakan pencapaian yang amat bermakna.
“Sebagai sebuah Universiti APEX, USM akan terus memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, membangunkan penyelidik bertaraf dunia dan menghasilkan ilmu yang bukan sahaja diterbitkan, tetapi dirujuk, diiktiraf dan memberi impak kepada dunia,” katanya. – MalaysiaGazette
















