PELABUHAN KLANG – Lima kedai sederet di hadapan Kolam Pancing Taman Sungai Sireh, di sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.38 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.
Menurut beliau, operasi membabitkan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dengan bantuan BBP Klang Selatan.
“Komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan lima kedai sederet dalam bangunan kelas B dengan keluasan keseluruhan kira-kira 7,000 kaki persegi.
“Setiap unit kedai berkeluasan kira-kira 1,400 kaki persegi dan dianggarkan 80 peratus bagi setiap premis terbakar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Lima premis yang terjejas ialah sebuah bengkel welding, bengkel motosikal, kedai makan, kedai servis pendingin hawa serta kedai membaiki peti ais.
Bagaimanapun, Ashrul Riezal berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada kira-kira 6.40 pagi, sebelum kerja-kerja pemeriksaan dan overhaul dijalankan bagi memastikan tiada lagi bara atau punca kebakaran yang boleh menyebabkan api tercetus semula,” katanya.
Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan aset JBPM termasuk dua jentera FRT, dua Water Tanker (W/T) dan dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
“Jarak lokasi kejadian dari BBP Pelabuhan Klang dianggarkan kira-kira sembilan kilometer,” katanya.
Katanya lagi, JBPM masih menjalankan kerja-kerja overhaul di lokasi bagi memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dinyatakan dan tertakluk kepada siasatan lanjut pihak berkuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















