KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) digesa menjelaskan kelewatan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Ketiga 2026 yang diumumkan bermula 15 Ogos, selepas sebahagian penerima masih belum menerima bantuan berkenaan sehingga 17 Ogos.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, kelewatan dan ketiadaan jadual pembayaran yang jelas menimbulkan kekeliruan serta keresahan khususnya dalam kalangan penerima berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau berkata, MOF sebelum ini memaklumkan pembayaran STR Fasa Ketiga 2026 akan disalurkan secara berperingkat kepada kira-kira 5.3 juta penerima.
“Kenapa pembayaran perlu dibuat secara berperingkat? Bilakah sebenarnya penerima daripada kategori yang berbeza akan menerima bayaran masing-masing?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Poay Tiong, beliau sendiri melihat beberapa warga emas di sebuah bank pagi tadi yang datang untuk menyemak dan mengeluarkan bayaran STR selepas memahami bantuan berkenaan mula disalurkan pada 15 Ogos.
“Mereka datang kerana memahami bahawa bantuan akan mula disalurkan pada 15 Ogos. Apabila mendapati wang masih belum dikreditkan, saya mendengar sendiri kekecewaan yang diluahkan oleh mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, isu itu mungkin kelihatan kecil dari sudut pentadbiran, namun beberapa ratus ringgit amat bermakna kepada keluarga yang perlu mengurus kewangan dengan teliti.
Katanya, bantuan STR mungkin digunakan untuk membeli barangan keperluan harian, membayar bil utiliti atau menampung perbelanjaan anak-anak.
“Bagi sesetengah pegawai kanan kerajaan, beberapa ratus ringgit mungkin tidak memberi banyak perbezaan.
“Tetapi, bagi keluarga yang perlu mengurus kewangan dengan teliti, wang ini mungkin digunakan untuk membeli barangan keperluan, membayar bil utiliti atau menampung perbelanjaan anak-anak,” tambahnya.
Khoo berkata, STR merupakan dasar kerajaan yang baik dalam membantu meringankan beban kewangan rakyat.
Namun, katanya, kekeliruan dalam pelaksanaan dan penyampaian maklumat boleh menimbulkan ketidakpuasan hati yang akhirnya memberi gambaran negatif terhadap kerajaan.
“Jika Kementerian Kewangan sememangnya sudah mengetahui bahawa pembayaran akan dibuat secara berperingkat, kementerian sepatutnya menyatakan dengan jelas tarikh pembayaran bagi setiap kategori ketika mengumumkan bahawa pembayaran akan bermula pada 15 Ogos.
“Ini membolehkan penerima mengetahui dengan tepat bila mereka boleh menjangkakan bayaran diterima, tanpa perlu berulang kali pergi ke ATM atau bank untuk membuat semakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa MOF menjelaskan sebab pembayaran dibuat secara berperingkat selain menerbitkan jadual pembayaran yang jelas dan terperinci kepada semua penerima.
“Ini mungkin kelihatan seperti isu kecil, tetapi kesannya besar kepada rakyat biasa. Dasar yang baik memerlukan pelaksanaan yang lancar dan berkesan, serta komunikasi yang jelas.
“Kita tidak seharusnya membiarkan satu urusan pentadbiran yang boleh dielakkan menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan,” katanya.
Poay Tiong turut menegaskan bahawa, teguran itu bukan bermaksud beliau menentang program STR atau usaha kerajaan membantu rakyat.
“Sebaliknya, saya berharap kerajaan dapat menjadikan dasar yang baik ini lebih baik lagi, supaya rakyat benar-benar dapat merasai manfaat bantuan yang disalurkan, dan bukannya mengalami kekeliruan serta keresahan yang tidak sepatutnya akibat kelemahan dalam pelaksanaannya,” katanya. – MalaysiaGazette
















