Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Manfaat prestasi ekonomi Malaysia yang mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026 perlu dirasai secara langsung oleh rakyat, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pertumbuhan KDNK, jumlah pelaburan dan perdagangan yang tinggi serta kadar inflasi dan pengangguran yang rendah menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan yang betul, namun pencapaian itu tidak bermakna sekiranya rakyat tidak memahami dan merasai manfaatnya.

“Pada ketika kita mengungkapkan angka-angka yang besar, dan memberi satu signal bahawa negara bergerak pada landasan yang betul, namun adakah rakyat merasai perkara-perkara yang mungkin lebih dekat kepada mereka?

“Seperti yang Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tegaskan dan ramai pimpinan menteri sebut, angka-angka yang besar, jika tidak diterjemah, tidak difahami, dan dinikmati oleh rakyat, maka tidak ada makna,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Ogos 2026, di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Justeru, Fahmi berkata adalah menjadi tanggungjawab Kementerian Komunikasi, Jabatan Penerangan (JAPEN) dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) untuk menjelaskan bagaimana angka-angka besar ini sebenarnya dicapai dan dinikmati oleh rakyat.

Beliau berkata usaha itu bukan hanya tanggungjawab Kementerian Komunikasi, sebaliknya Unit Komunikasi Korporat (UKK) pada setiap kementerian perlu memperhalusi kaedah untuk menerangkan kepada rakyat bagaimana dasar dan pencapaian kerajaan memberikan kesan kepada kehidupan mereka.

“Kita perlu bantu kementerian-kementerian lain untuk fahamkan rakyat tentang isu-isu yang mungkin bagi mereka, bagi kementerian tersebut, stakeholder (pihak berkepentingan) itu, mungkin mereka tak sedar yang rakyat kurang faham,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diperjelaskan kepada rakyat, khususnya kepada hampir 10 juta pendeposit institusi itu, termasuk berkaitan proses pembentangan laporan berkenaan.

Beliau berkata pembentangan laporan RCI berkenaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah selaras dengan amalan terdahulu, iaitu laporan RCI dibentangkan oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan.

“Semua laporan RCI dalam sejarah sidang Parlimen, semua RCI, terdapat mungkin lima atau enam RCI sebelum ini, tak pernah dibentang oleh perdana menteri, kecuali oleh menteri yang bertanggungjawab. Jadi menteri yang bertanggungjawab atas Tabung Haji adalah Menteri Agama. Maka Menteri Agamalah yang membentangkan laporan itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata setakat semalam bagi tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengesan lebih 10,000 akaun palsu yang telah dikenal pasti membawa isu-isu 3R.

“Apakah fungsi akaun palsu ini? Untuk membawa naratif palsu, maklumat yang tidak benar, menyampaikan hubungan yang tidak betul, maka kita perlu lipatgandakan usaha untuk membasmi akaun-akaun palsu ini,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here