Saifulnizam Sulaiman menyiram pusara Allahyarham Nur Fatima Syuhada selepas selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sanggang, di Temerloh.

TEMERLOH – Suasana hiba menyelubungi Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Kampung Sanggang, di sini, hari ini, ketika jenazah ibu dan anak yang maut dalam nahas membabitkan sebuah lori tangki dan kereta tiba untuk disolatkan sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sanggang, di sini.

Ahli keluarga dan orang ramai sedia menunggu sejak awal pagi tadi kelihatan mengalir air mata sebaik sahaja dua keranda yang membawa Nur Fatimah Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, dibawa masuk ke dalam masjid.

Suami Nur Fatimah, Saifulnizam Sulaiman yang mengiringi kedua-dua jenazah kelihatan pilu.

Pengesahan identiti kedua-dua mangsa yang rentung dalam nahas itu dibuat menerusi perbandingan sampel DNA dengan waris dengan bantuan Jabatan Kimia Petaling Jaya petang semalam.

Sebelum itu jenazah dimandikan secara tayammum dan dikafankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) pada jam 10 pagi sebelum disolatkan selepas solat Zohor oleh lebih 100 jemaah Masjid Saidina Abu Bakar As-siddiq.

Jenazah Nur Fatimah Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, selamat dikebumikan secara berasingan pada jam 2.30 petang.

Jenazah Nur Fatimah Syuhada Abdullah, 39, dan anak lelakinya, Muhamad Fattah Aisy Nuafal Saifulnizam, 12, disembahyangkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq, di Sanggang dekat Temerloh.

 

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, kedua-dua mangsa maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak.

Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap dalam kenderaan sebelum ditemukan dalam keadaan rentung.

Sementara itu, pemandu lori tangki direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, polis telah melengkapkan kertas siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dan sebuah kereta yang mengorbankan dua individu dalam insiden tragis di Jalan Temerloh-Triang, dekat Kampung Lebak, Temerloh 14 Ogos lalu.

Menurutnya, kertas siasatan itu akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast