Kuartet Johor 4x100 meter. Foto Facebook SEA Games Malaysia 2027.

KUALA LUMPUR – Kuartet Johor 4×100 meter (m) lelaki mencipta kejutan apabila menyambar pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini dengan memecah rekod kejohanan selama 10 tahun.

Kuartet Johor yang diketuai Danish Iftikhar Muhammad Roslee sebagai pelari terakhir berjaya menamatkan saingan itu dengan catatan masa 39.46 saat (s) sekali gus memadam rekod 39.89s milik kuartet Melaka yang bertahan sejak SUKMA 2016 di Sarawak.

Selain Danish Iftikhar, kuartets yang dibarisi Mohamad Haziq Ilmani Osman, Muhamad Airiel Iskandar Rusli dan Adam Harith Hairulaydel mempamerkan larian bertenaga dengan mengatasi kuartet dari Sabah dan juga Selangor di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Kami cuma menyasarkan untuk berada di pentas podium. Selebihnya adalah rezeki daripada Allah.

“Kami percaya antara satu sama lain sebagai satu pasukan dan Alhamdulillah, kami berjaya mencipta rekod baharu kejohanan serta meraih pingat emas untuk Johor.

“Dalam acara 4x100m, macam-macam perkara boleh berlaku, jadi kami hanya memberikan yang terbaik dan akhirnya berjaya meraih kemenangan di sini hari ini,” kata Danish kepada media selepas perlumbaan berakhir.

Sementara itu, catatan 39.46 saat oleh kuartet Johor itu hadir pada waktu penting ketika Malaysia sedang membina barisan atlet menuju Sukan SEA Malaysia 2027.

Dengan temasya dwitahunan itu bakal berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan, persaingan sengit dalam kalangan pelari pecut muda dilihat mampu memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan kebangsaan untuk membentuk kuartet terbaik negara. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast